Pemantau bebas pilihanraya - Badan Pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas (Mafrel) membuat keputusan untuk memohon bantuan dana kerajaan bagi menjalankan kegiatannya, tetapi menafikan ia akan menjejaskan pendirian berkecualinya selama ini.

Cadangan untuk memohon bantuan dana kerajaan itu dilaporkan dibangkitkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam satu pertemuan pada 19 November lalu.

Mafrel mengambil keputusan untuk menerima cadangan pengerusi SPR itu.

Pengerusi Mafrel, Abdul Malek Hussin berkata hari ini bahawa badan pemantau itu mengambil keputusan tersebut dalam mesyuarat lembaganya Rabu lalu.

"Kami berpandangan bahawa kerja-kerja Mafrel adalah penting untuk negara dan rakyat, jadi kami sepatutnya mendapat bantuan dana awam," katanya kepada Malaysiakini.

Hujahnya, dana itu bukan "wang kerajaan" tetapi wang pembayar cukai.

"Ini adalah dana awam dan ia bukan perkara baru bagi kita untuk menerima dana, malah di peringkat antarabangsa pun," katanya.

Menurut Malek, Mafrel telah menerima dana dari International Republican Institute (IRI) yang dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat dan kerajaan Finland pula membiayai program Mafrel baru-baru ini.

Disalur melalui SPR

Malek berkata, Mafrel kini dalam proses mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dana RM5.7 juta dari kerajaan untuk membiayai khidmat sukarelawannya untuk memantau perjalanan pilihanraya umum akan datang.

Oleh itu, jelasnya, Mafrel juga perlu menjalankan penstrukturan semula kerana statusnya sekarang sebagai sebuah syarikat berdaftar, tidak melayakkannya menerima dana kerajaan.

"Mereka yang layak menerima dana kerajaan perlu didaftar sama ada sebagai pertubuhan dengan Pendaftar Pertubuhan atau sebagai badan amanah. Kita memutuskan untuk menukar (status) Mafrel kepada Yayasan Mafrel," katanya.

Menjelaskan lebih mengenai prosedurnya, Malek berkata, permohonan itu, yang perlu dibuat kepada Jabatan Perdana Menteri, akan disalurkan kepada SPR sebelum ia sampai kepada Mafrel, seandainya diluluskan.

"Kita melakukannya melalui SPR kerana jika tidak, kita akan dianggap menerima dana dari ekskutif (kerajaan)," katanya sambil menambah, beliau masih belum pasti sama ada Mafrel akan terus mendapatkan dana kerajaan setiap tahun.

Ditanya sama ada langkah itu akan menarik kritikan berhubung status berkecuali Mafrel, beliau berkata: "Kita dikritik oleh semua pihak, tetapi belum ada kritikan rasmi mengenai perkara ini."

'Syarat-syarat'

Malek berkata, tidak perlu ada sebarang syarat bagi permohonan tersebut, selain syarat-syarat pemantauan pilihanraya yang telah ditetapkan oleh SPR sebelum ini.

Antaranya, Mafrel dilarang membuat komen terbuka mengenai perjalanan pilihanraya sehinggalah dia mengemukakan laporan kepada SPR dan ia tidak boleh campurtangan dalam proses pilihanraya.

Mafrel ditubuhkan hasil persidangan aktivis badan-badan sivil dan hak asasi manusia pada tahun 2003 dan telah menjalankan pemantauan dalam pilihanraya umum yang lalu serta beberapa pilihanraya kecil.

Kerja-kerja yang dijalankan oleh Mafrel telah mendapatkan pengiktirafan SPR April lalu apabila ia diberi akreditasi rasmi untuk memantau pilihanraya kecil Machap.

Bagaimanapun, para pengkritik juga berhujah bahawa syarat-syarat yang dikenakan oleh SPR terhadap Mafrel ketika memberi akreditasi rasmi itu telah menjejaskan kebebasan dan sikap berkecuali badan pemantau pilihanraya itu.

Mafrel juga menulis dalam salah satu laporannya bahawa 'implikasi negatif' daripada perolehan akreditasi rasmi itu ialah "syarat-syarat sekatan terhadap para pemantau Mafrel".

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menemui Mafrel Rabu lalu berkata, walaupun beliau mengiktiraf kerja-kerja Mafrel tetapi berpendapatkan pendirian badan pemantau pilihanraya itu terhadap SPR dalam perkara-perkara tertentu, adalah "terlalu lembut". Berita asal