Suruhanjaya Pilihanraya Selangor (SEC) telah membuang 45 nama pengundi 'misteri' berikutan aduan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekincan, Ng Swee Lim.

Dalam sepucuk surat Jumaat lalu, Pengarahnya, Jailani Abdul Majid (foto) berkata, SEC telah mengadakan siasatan awam terhadap aduan tersebut pada 15 November lalu selepas Adun DAP itu memfailkan lima aduan berasingan mengenai kewujudkan pengundi misteri dalam kawasannya.

Menurut Ng, SEC memutuskan untuk mengekalkan nama empat orang lagi pengundi selepas aduannya terhadap mereka terpaksa digugurkan atas sebab-sebab teknikal.

Sebab-sebab teknikal tersebut termasuk maklumat yang tidak tepat berhubung nombor kad pengenalan mereka yang diberikan oleh pengadu.

Ng telah mengesan perkara itu ketika beliau memeriksa senarai pengundi tambahan yang didaftarkan dalam suku tahun ketiga. Ia mengandungi senarai penuh pengundi baru yang ditambah kepada senarai pengundi induk.

Dalam pilihanraya umum 2004, Ng menewaskan calon MCA dengan majoriti 344 undi.

Bulan lalu, Ng mendakwa pihaknya telah mengesan penyelewengan senarai pengundi bagi dua lokasi - Jalan Radin dan Sekinchan Site C - yang masing-masing mempunyai berbelas-belas pengundi yang didaftarkan di bawah satu alamat.

Menurut Ng lagi, di Jalan Radin, seramai 16 orang telah menukar alamat mereka ke alamat sebuah rumah kedai yang menempatkan sebuah kedai salon rambut, manakala seorang lagi di alamat tersebut adalah pengundi baru.

Di Sekinchan Site C, Ng berkata, terdapat 12 pengundi baru yang didaftarkan di alamat sebuah rumah kayu setingkat yang didiami oleh keluarga empat orang. Tujuh pengundi lagi turut menukar alamat mereka ke alamat rumah yang sama.

Selain dari dua lokasi tersebut, nama 13 lagi 'pengundi misteri' didakwa adalah dari kawasan pilihanraya yang berhampiran dan bukan penduduk Sekinchan.

Banyak kelemahan

Ketika dihubungi, Ng berkata, beliau puashati dengan tindakan yang diambil oleh SEC, tetapi beliau percaya banyak lagi yang harus dilakukan bagi menangani kelemahan dalam undang-undang pilihanraya.

"Masih terdapat kecacatan dalam undang-undang tersebut. Kecacatan tersebut memboleh pengundi menukar alamat dan juga kawasan pilihanraya mereka, yang bermakna pengundi boleh dipindahkan (oleh parti lawan) dengan mudah bagi menjamin kemenangan di kawasan mereka," katanya.

Menurutnya, kerajaan mesti mengatasi kelemahan tersebut dan membuat pindaan kepada Akta Pilihanraya. Beliau juga menggesa supaya ditangani segala kesukaran yang timbul ketika hendak memfailkan sebarang aduan mengenai penyelewengan dalam pilihanraya.

"Pilihanraya akan menjadi lebih adil sekiranya pengundi yang mengesan sebarang amalan yang tidak kena, boleh membuat aduan tanpa melalui karenah birokrasi yang menyukarkan mereka untuk berbuat demikian," katanya.

Satu salinan surat SEC itu turut diserahkan kepada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk dijadikan bukti kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa memang berlaku penyelewengan dalam sistem pilihanraya. Berita asal