Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas PM, Pemuda PAS namakan calon Ketua Menteri Sabah

MUKTAMAR PAS | PAS terus mengorak langkah menunjukkan keyakinan parti itu untuk memimpin apabila hari ini mereka sekali lagi mencuri tumpuan dengan perwakilan mendesak pucuk pimpinan tertinggi mengambil peranan big brother dalam gabungan PN.

Terbaru, perwakilan PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, dalam perbahasannya mencadangkan agar mereka menamakan calon ketua menteri di Sabah.

Pilihan Ketua Pemuda PAS Selangor itu ialah Adun lantikan di negeri tersebut, Dr Aliakbar Gulasan.

Ia diumumkan menjelang pilihan raya negeri yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Ditemui Malaysiakini kemudian, Sukri berkata, memang wajar PAS menjadi pengemudi PN dan parti itu wajar menerima cadangan agar Aliakbar dinamakan sebagai calon ketua menteri.

Aliakbar Gulasan

"Dia telah pun membuktikan prestasinya sebagai Adun lantikan dalam memimpin rakyat Sabah, bahkan dikenali masyarakat.

"Maka, adalah sangat sesuai dimulakan usaha mengemudi PN ini dengan menonjolkan Aliakbar sebagai calon ketua menteri pada PRN akan datang," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, Aliakbar merupakan ahli Jawatankuasa Pusat PAS bagi penggal lalu. Dia dilantik sebagai Adun selepas PRN Sabah 2020 di bawah gabungan Gagasan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, pada Jan 2023 Hajiji mengumumkan GRS sebagai satu gabungan tempatan di Sabah secara keseluruhan tanpa penglibatan parti-parti luar Sabah menyebabkan PAS bertindak sebagai pembangkang di DUN Sabah.

PRN Sabah dijangka akan didatang sebelum hujung tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS