Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Portugal secara rasmi iktiraf Palestin
Diterbitkan:  Sep 22, 2025 10:02 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Portugal secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Menteri Luar Paulo Rangel mengumumkan pengiktirafan rasmi negaranya terhadap Palestin di Perwakilan Tetap Portugal ke PBB di New York, lapor penyiar negara itu, RTP.

Rangel turut menggesa pembebasan semua tawanan, penghentian semua permusuhan dan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.

"Pengisytiharan pengiktirafan hari ini adalah hasil langsung daripada keputusan Majlis Menteri-Menteri pada 18 Sept, yang dibuat selepas proses rundingan yang mendapat persetujuan presiden republik dan sebahagian besar parti yang mempunyai kerusi di Parlimen," tambahnya.

Terdahulu, Presiden Marcelo Rebelo de Sousa menyatakan sokongan penuhnya terhadap keputusan kerajaan untuk mengiktiraf Palestin.

Langkah itu dibuat beberapa jam selepas United Kingdom (UK), Kanada dan Australia turut secara rasmi mengiktiraf negara Palestin menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unga).

Sebelum ini, Perancis, Luxembourg dan Malta mengumumkan rancangan yang sama untuk mengiktiraf Palestin di Perhimpunan Agung PBB minggu depan.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS