PAS menyokong permohonan Badan Pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas (Mafrel) - untuk mendapatkan peruntukan kerajaan bagi memantau pilihanraya umum akan datang.

"Di sesetengah negara lain kerajaan memang memberi peruntukan kepada badan pemantau pilihanraya untuk membolehkan mereka menjalankan pemantauan," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Dan kerajaan negara-negara tersebut memberi ruang kepada pemantau untuk menjalankan kerja mereka tanpa halangan dan sekatan.

"Jika ada halangan dan sekatan, maka tiada gunanya kerajaan membenarkan Mafrel menjadi pemantau pilihanraya," katanya dalam sidang media di pejabat agung PAS di ibu negara hari ini.

Sebelum itu beliau bersama pucuk pimpinan PAS mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Mafrel, Abdul Malek Hussin. Hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Pengarah pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah Mafrel untuk memohon peruntukan RM5.7 juta dari kerajaan bagi menjalankan kerja-kerja pemantauan dalam pilihanraya umum akan datang.

Cadangan untuk memohon bantuan dana kerajaan itu dilaporkan dibangkitkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam satu pertemuan pada 19 November lalu.

Terima cadangan

Mafrel mengambil keputusan untuk menerima cadangan pengerusi SPR itu.

Sebelum ini, Abdul Malek dilaporkan berkata pihaknya mengambil keputusan tersebut dalam mesyuarat lembaganya Rabu lalu kerana berpendapat kerja Mafrel adalah penting untuk negara dan rakyat.

Abdul Hadi yang juga bekas menteri besar Terengganu berkata, PAS mengalu-alukan usaha Mafrel untuk memantau perjalanan pilihanraya umum di negara ini.

"Malah, jika boleh pemantau antarabangsa perlu dibenarkan memantau perjalanan pilihanraya di dalam negara ini supaya mereka dapat melihat sendiri proses pilihanraya," katanya lagi.

Beliau berkata, di sesetengah negara lain, kerajaan memang menyediakan peruntukan kepada badan pemantau untuk memantau perjalanan pilihanraya.

Menurut Abdul Hadi, PAS sangat konsisten dalam memperjuangan demokradi di dalam negara ini walaupun ada pemimpinnya yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mustafa menambah, Mafrel sepatutnya sudah lama menjalankan kerja-kerja pemantau perjalanan pilihanraya di dalam negara ini.