Penasihat Undang-undang Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Uthayakumar, terperanjat pagi tadi apabila mendapati keempat-empat tayar kereta Volvonya telah dikelar.

Berikutan itu, beliau membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada jam 8.50 pagi tadi. Beliau mendakwa, ia dilakukan oleh "kepimpinan Umno dan/atau ejen-ejen mereka".

Dalam laporan itu, Uthayakumar mendakwa keempat-empat tayar keretanya telah dikelar kerana perbuatan membalas dendam.

Uthayakumar, yang tinggal di Tivolli Villa, Bangsar, mendakwa 'ejen' tersebut telah mengintipnya sejak lapan bulan yang lalu.

"Saya nampak dia berjogging dan dia memandu sebuah kereta. Dia adalah anggota cawangan khas," katanya ketika dihubungi kemudiannya.

Uthayakumar berkata, beliau telah memaklumkan kepada pihak polis supaya memeriksa rakaman CCTV untuk mengetahui siapakah yang kelar tayar keretanya.

Berhasrat jumpa PM

Beliau menjadi tumpuan ramai berikutan perhimpunan Hindraf pada 25 November lalu.

Sebelum itu, Uthayakumar, adiknya yang juga Pengerusi Hindraf, Waythamoorthy dan seorang lagi peguam VS Ganapathi Rao telah ditangkap mengikut Akta Hasutan.

Hindraf juga memfailkan saman terhadap kerajaan British kerana membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Uthayakumar baru-baru ini berkata, mereka akan terus memperjuang hak mereka sehingga ada pihak yang mendengar rungutan mereka itu.

Beliau juga menyuarakan harapannya agar dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Ahad ini.

Abdullah telah menuduh Hindraf cuba memainkan sentimen perkauman.