Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung video yang didedahkan oleh ahli perniagaan, Albert Tei, mengenai dakwaan rasuah membabitkan Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata dia telah mengarahkan SPRM Sabah untuk bertindak ke atas pendedahan yang disiarkan Malaysiakini semalam.
“Siasatan mengenai isu tersebut sedang dijalankan.
“Saya juga telah mengarahkan agar kedua-dua individu yang terlibat (Tei dan Kitingan) dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan yang sedang berjalan,” katanya pada satu kenyataan semalam.
Dakwaan Kitingan muncul dalam rakaman video sedang membincangkan isu rasuah dan menerima RM1.78 juta daripada Tei pertama kali timbul pada bulan Jun lalu.
Namun, Malaysiakini difahamkan bahawa SPRM tidak pernah menghubungi Tei mengenai dakwaan tersebut atau meminta rakaman video berkenaan.
Tei pada maklum balas terhadap kenyataan Azam mempersoalkan mengapa SPRM mengambil masa begitu lama untuk bertindak.
“Sudah 90 hari berlalu (sejak ia pertama kali didedahkan pada bulan Jun). Apa yang telah SPRM lakukan dalam tempoh 90 hari itu?
“Saya sangat keliru dan tidak faham mengapa SPRM tidak menyedarinya dan tidak memulakan siasatan sejak 90 hari lalu,” katanya.
Dia turut menegur SPRM kerana didakwa melayan dakwaan rasuah terhadap ahli politik kerajaan secara berbeza, sehingga menimbulkan tanggapan seolah-olah mereka kebal daripada pendakwaan.Video itu merakamkan satu pertemuan di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2024, yang berkisar tentang pembatalan lesen penerokaan lombong. Dalam video itu, Tei memperincikan pembayaran yang didakwa telah dibuat kepada Kitingan.
Kitingan sejak itu menafikan segala tuduhan terhadap dirinya.
Rakaman yang mengaitkan Kitingan dan lima individu lain ini berasingan daripada siri video lain yang mengaitkan sembilan ahli politik Sabah, termasuk Menteri Kewangan negeri, Masidi Manjun, serta Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya negeri, Shahelmey Yahya.
Tei sebelum ini berkata dia telah menyerahkan semua bukti berkaitan sembilan ahli politik pertama yang didakwanya kepada SPRM.
