Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) akan mendedahkan pita rakaman perbualan antara Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dengan anggota rombongan gabungan itu di Putrajaya pada 2 Julai lalu.

Ini ekoran penafian Abdul Rashid (foto) bahawa beliau telah menasihatkan Bersih supaya menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai perjalanan pilihanraya di negara ini.

"Ia akan didedahkan apabila tiba masanya untuk membolehkan orang ramai mendengar sendiri percakapan Abdul Rashid dengan anggota Bersih," kata Setiausaha Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Bersih dilaporkan berkata Abdul Rashid yang menasihatkan mereka supaya menghantar memorandum kepada Seri Paduka untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil.

Bagaimanapun, Sabtu lalu, Abdul Rashid menafikan beliau yang menasihatkan gabungan tersebut seupaya berbuat demikian.

Abdul Rashid menganggap dakwaan itu sebagai 'tidak masuk akal' dan mendakwa tindakan Bersih mengeluarkan kenyataan sedemikian, hanya untuk 'melaga-lagakan' SPR dengan kerajaan.

"Hantar memo (kepada Yang di-Pertuan Agong) bukan idea saya dan perkara itu tidak timbul pada pertemuan saya dengan Bersih.

"Saya tidak ingat ada sesiapa (dalam pertemuan dengan Bersih) yang sebut nak hantar memo pada Yang di-Pertuan Agong tapi tak tahulah kalau mereka nak sumbat perkara itu dalam tekak saya... tak perlulah nak lagakan saya dengan mana-mana pihak," katanya dalam laporan tersebut.

'Jangan dolak-dalih'

Sementara itu, Faisal berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Bersih yang diadakan beberapa hari lalu.

Dalam pita rakaman tersebut, katanya, Abdul Rashid telah menasihatkan Bersih supaya menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pilihanraya yang bersih dan adil.

"Pengerusi SPR itu mengeluarkan kata-kata tersebut sewaktu makan tengah hari selepas Bersih mengadakan pertemuan dengan beliau di pejabatnya di Putrajaya, 2 Julai lalu," jelas Faisal.

Berikutan itu, kata Faisal, Bersih mengadakan perhimpunan yang hadiri kira-kira 40,000 dan menyerahkan memorandum tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November lalu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Istana Negara oleh delegasi yang diketuai oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa; Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam memorandum tersebut, Bersih menuntut supaya diadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini.

Menurut Faizal lagi, pengerusi SPR itu tidak boleh berdolak dalih dengan menafikan kenyataan yang beliau sendiri buat sebelum ini.

"Bersih kesal kerana Abdul Rashid telah menukar kenyataannya sendiri. Saya rasa dia telah mengikut telunjuk kerajaan," katanya.