Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu palsu dokumen pemain warisan: Tiada kesalahan dikesan - SPRM
Diterbitkan:  Sep 28, 2025 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengenal pasti sebarang asas kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, berhubung dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Kebangsaan (FAM).

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, isu itu dilihat sebagai berkaitan proses teknikal dan berada di luar bidang kuasa SPRM.

“Kami telah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan turut mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai sebahagian daripada siasatan awal.

“Hasil daripada kerjasama tersebut, SPRM telah dibekalkan dengan beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, SPRM tidak akan berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk menyelesaikan isu berkenaan bersama badan induk bola sepak dunia itu.

SPRM turut menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak terlibat.

Media sebelum ini melaporkan FAM dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS