Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan mula menjalani hukuman penjara selama lapan tahun hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan keputusan sebulat suara, menolak rayuan akhir Yong terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya.

“Sabitan adalah sah dan keputusan majoriti di Mahkamah Rayuan adalah wajar,” kata Wan Ahmad Farid yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Yong, 55, akan terus dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman serta-merta.

Beliau mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi atas kesalahan merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun dari Indonesia.

Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong, namun, Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas mengurangkan hukuman terbabit kepada lapan tahun tetapi mengekalkan dua sebatan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS