Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Gombak Setia dibicarakan tahun depan
Diterbitkan:  Oct 9, 2025 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham, yang didakwa membuat kenyataan menimbulkan kegentaran awam melalui laman sosial TikTok, akan bermula pada awal Mac tahun depan di Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh perbicaraan pada 2 dan 3 Mac 2026 selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kes itu kepada pembelaan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Muhammad Hilman, mengesahkan telah menerima dokumen itu daripada pihak pendakwaan.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu, Muhammad Rafique berkata anak guamnya bersedia untuk perbicaraan dan tidak berhasrat memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan tersebut.

Pada 20 Ogos lepas, Muhammad Hilman, 36, didakwa membuat kenyataan itu, yang mungkin boleh menimbulkan kegentaran awam dan mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam, di TikTok pada 2.09 petang 30 Julai lepas, dan pautan TikTok tersebut dilihat oleh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ di sini.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS