Kerajaan Kelantan menzahirlan harapan agar lebih banyak projek baru dalam sektor pertanian dan pelancongan dapat diberi perhatian di bawah fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Menteri besarnya Mohd Nassuruddin Daud berkata harapan itu disebut memandangkan kedua-dua sektor terbabit mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga berharap rojek-projek infrastruktur utama yang menjadi keutamaan rakyat dapat dilaksanakan mengikut jadual sepanjang 2026, termasuk yang telah diluluskan tetapi masih berstatus belum dimulakan melalui RMK terdahulu.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan peruntukan yang diumumkan kepada Kelantan bagi memperkukuhkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
“Kejayaan pelaksanaan projek-projek tersebut yang cekap dan berkesan bukan sahaja akan memperkukuh asas pembangunan negeri, malah turut memberi kesan langsung kepada peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam.
Nassuruddin yang juga Adun Meranti menyifatkan dalam Belanjawan 2026 Anwar mengumumkan beberapa peruntukan penting ke arah memperkukuh pembangunan jangka panjang untuk Kelantan.
“Antara projek baru yang menjadi keutamaan ialah menaik taraf jalan sedia ada di Rantau Panjang menjadi laluan berkembar empat lorong, dan naik taraf landasan kereta api Pasir Mas - Rantau Panjang, di samping projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,” katanya.
Turut diberi tumpuan ialah projek jalan utama Kubang Kerian–Bachok dan Pasir Mas–Salor, sistem saliran Bandar Baru Tunjong, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Mukim Tiong dan Mukim Jelutong, serta Sistem Bekalan Air Luar Bandar di Pasir Mas.
“Turut memberi manfaat kepada negeri ini ialah projek Loji Rawatan Air Machang, pelaksanaan program non-revenue water (NRW) dan pelbagai inisiatif lain untuk kemakmuran rakyat,” katanya.
