Pihak berkuasa nampaknya sedang menyediakan asas untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pemimpin utama Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), kata seorang bekas tahanan ISA.

Ia ekoran kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menuduh kumpulan tersebut, yang menganjurkan perhimpunan 30,000 kaum India pada 25 November, ada kaitan dengan pengganas.

Saari Sungip, yang ditahan di bawah ISA pada 2001 bersama sembilan lagi aktivis reformasi, berkata tanda-tanda sekarang adalah sama dengan semasa mereka ditahan enam tahun lalu.

'Mereka menuduh kami menggunakan bom api, pelancar bom dan mendakwa kami ada kaitan dengan kumpulan pengganas untuk menggulingkan kerajaan," katanya ketika merujuk mengapa mereka ditahan di bawah ISA ketika itu, yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Dakwaan tersebut - yang tidak dibuktikan hingga ke hari ini - dinafikan sekeras-kerasnya oleh mereka, yang ketika itu aktif melancarkan kempen selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri.

‘Cara termudah’

Dalam satu kenyataan Khamis lalu, Musa menuduh pemimpin Hindraf mendapatkan sokongan dari pengganas, mencemarkan nama Malaysia dan mencetuskan kebencian antara kaum - satu tuduhan yang serius di negara majmuk ini yang bermajoritikan kaum Melayu Islam.

Ketua Polis Negara itu bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut berhubung dakwaannya itu, manakala Hindraf telah menafikan tuduhan tersebut.

Saari, yang kini merupakan ketua penerangan PAS Selangor, percaya ISA mungkin digunakan terhadap pemimpin Hindraf kerana "anggota cawangan khas (polis) gemar mengesyorkan penggunaan ISA".

"Ia adalah cara mudah bagi mereka (pihak berkuasa)," tambahnya.

Seorang lagi bekas tahanan ISA yang turut ditahan bersama Saari ketika itu, Mohd Ezam Mohd Nor pula berkata, walaupun wujud tanda-tanda yang sama ketika mereka ditahan sebelum itu, tetapi beliau percaya ISA tidak digunakan dalam masa terdekat ini.

“Pihak berkuasa sedang menggunakan pelbagai cara melalui polis atau mahkamah, seperti menolak ikatjamin tahanan. Membuatnya sesukar mungkin. Saya percaya ISA akan hanya digunakan sebagai pilihan terakhir," kata Ezam, yang kini mempengerusikan sebuah badan pemantau anti-rasuah.

Beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak menggunakan ISA kerana ia menafikan hak tertuduh untuk didengar.

“Sehingga hari ini, ada yang masih fikir yang saya seorang militan," katanya mengenai penahanannya di bawah ISA sebelum ini.

‘Publisiti untuk BN’

Ezam juga menggesa kedua belah pihak - Hindraf dan polis - supaya bertanggungjawab terhadap kenyataan mereka.

“Pemimpin Hindraf perlu bertanggungjawab terhadap apa yang mereka katakan dan pihak polis pula perlu membuktikan tuduhan mereka bahawa Hindraf ada kaitan dengan keganasan. Jika polis ada bukti, dakwa mereka di mahkamah dan berikan peluang untuk mereka membela diri," tambahnya.

Manakala Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula menyifatkan tuduhan polis itu sebagai "tidak munasabah".

“Ini isu keselamatan negara yang serius. Jika polis mengesyaki pemimpin Hindraf ada kaitan dengan penggans, mereka perlu menjalankan siasatan yang terperinci, dapatkan jawapan yang tepat dan dakwa mereka di mahkamah mengikut proses sepatutnya," katanya.

“Tetapi mengapa pihak polis terbabit dengan melakukan publisiti untuk BN sekarang dan ketua polis negara pula bertindak sebagai jurucakap BN," kata Tian Chua, yang turut ditahan bersama Ezam dan Saari di bawah ISA pada 2001.

Mengenai penggunaan ISA terhadap pemimpin ISA, Tian Chua tidak pasti sama ada ia akan sampai ke peringkat tersebut.

“Tetapi jika perdana menteri berbuat demikian, maka usahanya untuk bersikap lebih terbuka dan menjadi seorang pemimpin yang liberal, akan sia-sia," katanya.

Abdullah, yang juga menteri keselamatan dalam negeri, mempunyai budibicara untuk menandatangani perintahan penahanan di bawah ISA, yang boleh disambung bagi setiap dua tahun. Berita asal