Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar rogol pelajar diheret ke mahkamah hari ini
Diterbitkan:  Oct 16, 2025 9:32 AM
Dikemaskini: 6:24 AM

Kes pelajar tingkatan tiga dirogol bergilir-gilir oleh pelajar senior di dalam kelas di Melaka akan dibawa ke mahkamah hari ini.

Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu-individu yang terlibat.

Jabatan itu dalam kenyataan medianya sebentar tadi berkata individu-individu tervavit akan didakwa bawah Seksyen 375B (rogol) dan 377B Kanun Keseksaan (persetubuhan luar tabii), serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (amang seksual) di Mahkamah Majistret Melaka.

“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap kesalahan jenayah, khususnya yang melibatkan mangsa kanak-kanak dan jenayah seksual, diambil tindakan sewajarnya dan ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Kejadian rogol bergilir-gilir itu didakwa berlaku sekitar 2.50 petang pada 2 Okt lepas dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah dan perbuatan itu dirakam mengguna telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Memetik sumber, media melaporkan bahawa pelajar 15 tahun itu dirogol ketika berpatah balik ke kelas untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.

Dia kemudian didakwa ditarik oleh dua pelajar tingkatan lima, ditutup mulut dan ditolak semula ke dalam kelas, ketika dua lagi mengawal di tangga dan dua lagi menyaksikan perbuatan itu.

Sumber mendakwa suspek pertama membogelkan dan merogol mangsa, diikuti suspek kedua.

Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS