Polis menahan lapan orang, termasuk lima orang peguam, kerana meneruskan perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa dari kompleks membelibelah Sogo ke Pasar Seni di Kuala Lumpur awal pagi ini.

Mereka ditahan selepas pihak penganjurnya gagal dalam rundingannya dengan pihak polis untuk membenarkan mereka manamatkan perarakan ke lokasi yang dirancang.

Kira-kira 100 orang yang menyertai perarakan itu sudah sampai separuh jalan apabila polis mengarahkan mereka bersurai dalam tempoh 10 minit.

Pihak penganjur, yang yakin mereka dapat menyudahkan perarakan tersebut dalam tempoh tersebut, mahu meneruskannya. Menurut para saksi, polis bagaimanapun mengepung kawasan tersebut, dan kemudiannya menahan beberapa orang penganjurnya, walaupun tempoh 10 minit itu belum berakhir.

Mereka yang ditahan itu termasuk lima orang peguam - N Surendran, Latheefa Koya, R Sivarasa, Eric Paulsen dan Amer Hamzah. Yang lainnya ialah Anthony Andu, Norazah Othman dan seorang aktivis yang tidak dikenali.

Mereka ditahan dekat stesen LRT Tun Perak LRT dan terus dibawa ke ibupejabat polis Kuala Lumpur. Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram, kata pemangku Ketua Polis Dang Wangi, Penguasa Che Hamzah Che Ismail.

Sebelum itu, pada kira-kira jam 8 pagi, sekumulan kira-kira 100 orang memulakan perarakan mereka dari Sogo sambil diperhatikan oleh anggota polis. Bagaimanapun, tidak kelihatan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta trak meriam air di situ.

Orang ramai kemudiannya bersurai selepas polis membuat tangkapan tersebut.

"Pihak berkuasa nampaknya tidak senang dengan sebarang tanda-tanda protes dan saya rasa inilah masalahnya dengan negara ini," kata Sivarasa, yang juga seorang pemimpin PKR.

"Mereka nampaknya tidak mampu untuk menangani perbezaan pendapat secara aman," katanya kepada AFP sebelum beliau ditahan polis.

Manakala Latheefa pula berkata rakyat Malaysia perlu terus mengamalkan hak mereka dalam perlembagaan untuk menyertai perhimpunan aman.

Sedia beri kerjasama

Para saksi berkata, salah seorang daripada yang ditahan itu diheret ke trak polis dan tangkapan dibuat walaupun mereka yang menyertai perarakan itu bersedia untuk berkerjasama dengan pihak polis.

Kumpulan tersebut mengadakan perarakan hari ini selepas Majlis Peguam Malaysia membatalkan perarakan tahunannya sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa - yang jatuh pada 10 Disember - selepas pihak polis mengarahkan mereka memohon permit.

Semalam, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perarakan tersebut kerana ia tidak mendapat permit polis.

"Kerana permit tidak dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut, maka mereka yang mengambil bahagian boleh didakwa mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 kerana menyertai perhimpunan haran," kata Che Hamzah dalam laporan Bernama.

Selepas Majlis Peguam membatalkan perarakan tersebut, sekurang-kurangnya 15 orang peguam memutuskan untuk meneruskannya juga sebagai satu penegasan bahawa rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman tanpa memerlukan permit dari polis.

Tempat diubah

Dua hari lalu, Surendran telah berkata, perarakan itu diadakan atas inisiatif para peguam yang prihatin, sambil menambah bahawa pihak penganjurnya tidak memohon permit polis.

“Kami berpendapat dengan memohon permiat, ia menidakkan hak asasi kami untuk menyertai perhimpunan aman seperti yang terkandung dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Kami berpendapat, perarakan (Majlis Peguam) dibatalkan kerana tekanan daripada pihak berkuasa. Kami mahu menyampaikan mesej bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyertai perhimpunan aman," kata Surendran.

Pengerusi Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan sebelum ini menjelaskan bahawa keputusan untuk membatalkan perarakan tersebut dibuat selepas menimbangkan keadaan semasa berkaitan acara tersebut, terutama di segi kepentingan awam dan Majlis Peguam Malaysia,

Majlis Peguam juga telah memindahkan tempat acara "Festival Hak" hari ini ke bangunannya sendiri yang terletak berhampiran Pasar Seni selepas pihak polis meminta pihak pengajur memohon permit untuk mengadakan acara tersebut di Pasar Seni.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Ambiga hari ini melahirkan kekecewaannya kerana tidak dibenarkan bertemu dengan mereka yang ditahan pagi tadi.

Ambiga berkata, perarakan itu diadakan secara aman dan mengecam tindakan menahan mereka itu sebagai "sesuatu yang malang dan tidak perlu sama sekali".

"Majlis Peguam berpendapat bahawa keperluan untuk mendapatkan permit polis itu adalah tidak mengikut perlembagaan," katanya kepada para pemberita.

Berita asal