Penduduk Pulau Duyong kini hidup dalam dilema ekoran tindakan kerajaan negeri membekukan sama ada penukaran syarat atau pemindahan hakmilik tanah mereka.

"Ini membimbangkan mereka dan menjadi igauan ngeri dalam pemikiran mereka," kata Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Pulau Duyong (Perkeduy), Azman Mohamad (kiri).

"Mungkinkah pembekuan urusan tanah itu satu isyarat bahawa mereka akan ‘dihambat’ keluar dari Pulau Duyong," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, tanah pulau itu berstatuskan pertanian tetapi tidak ada projek pertanian yang dilaksanakan kerana tidak sesuai untuk tujuan tersebut..

Pulau Duyong mempunyai lebih 5,000 penduduk, dengan sebahagian besarnya golongan nelayan dan 1,600 daripada mereka menjadi ahli Perkeduy.

"Apabila penduduk mahu menukar status tanah mereka kepada komersial, permohonan mereka ditolak oleh pejabat tanah atas alasan kerajaan negeri telah membekukan proses tersebut," tambah Azman.

Keadaan itu, tegasnya, telah menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk mengenai kemungkinan kerajaan negeri berhasrat untuk mengambilalih tanah di pulau tersebut.

Dalam dilema

Berikutan itu, kata beliau, penduduk tidak berpuashati kerana pembekuan tersebut menafikan peluang mereka untuk memajukan tanah masing-masing untuk tujuan komersil.

Azman juga mendakwa, kerajaan telah menceroboh tanah penduduk sesuka hati "sedangkan tanah ini milik penduduk secara sah".

Menurutnya, penduduk Pulau Duyong kini berada dalam dilema kerana mereka tidak tahu nasib dan masa depan mereka.

Azman juga mendakwa banyak projek pembangunan di pulau itu dibuat tanpa pengetahuan dan rundingan dengan pihak penduduk, termasuk dalam pengambilan tanah.

Beliau mendakwa terdapat empat projek besar yang dilaksanakan tidak mendapat persetujuan penduduk pulau tersebut, iaitu pembinaan calet dan kelab teluk warisan, pembinaan apartmen, jalan baru dan kompleks perniagaan.

Menurut Azman lagi, Monsoon Cup yang digambar-gemburkan itu sebenarnya tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk Pulau Duyong.

Katanya, sebahagian besar peniaga yang menjalankan perniagaan di gerai-gerai semasa Monsoon Cup juga adalah orang luar.

"Penduduk Pulau Duyong tidak mampu membayar sewa gerai RM600 selama lima hari. Malah kedai-kedai kecil atau warung yang didirikan penduduk Pulau Duyong atas tanah kerajaan, diberikan notis supaya dirobohkan.

Penjelasan exco

"Peluang pekerjaan dari pembangunan Pulau Duyong juga diberikan kepada orang luar. Hanya seorang sahaja penduduk pulau yang bekerja di Kelab Teluk Warisan, dan tiga orang lagi yang bekerja menjadi pengawal keselamatan," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hisham Salleh ketika dihubungi berkata, menafikan projek pembangunan Pulau Duyong membabitkan tanah penduduk kerana ia dibangunkan di atas tanah yang ditimbus.

"Tanah penduduk kampung tidak terusik sedikit pun, kecuali untuk membina jalan, kerana kita menambak kawasan perairan pantai untuk pembangunan tersebut.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa sebahagian besar tanah di Pulau Duyong adalah milik kerajaan negeri. Manakala tanah yang didakwa milik penduduk merupakan tanah milik turun temurun yang tidak diketahui siapa pemiliknya," katanya.

Wan Hisham berkata, kerajaan negeri juga mengambil keputusan tidak membenarkan penduduk menukar milik tanah kerana bimbang mereka menjualnya kepada pihak lain.

Katanya, hasil maklum balas dari penduduk pulau itu, menunjukkan mereka rata-rata gembira kerana dengan adanya pembangunan, harga tanah di pulau itu telah melambung naik. (Gambar ehsan Buletinonline)