Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki maut selepas tergelincir di air terjun Lata Kinjang
Diterbitkan:  Nov 1, 2025 1:49 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun maut selepas tergelincir ke dalam kolam di kawasan Air Terjun Lata Kinjang, dekat Chenderiang, Perak petang semalam.

Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada jam 5.10 petang.

Sehubungan itu, katanya, operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tapah digerakkan.

“Mangsa dipercayai tergelincir ke dalam kolam di kawasan tempat pemeriksaan 12 di bahagian paling atas air terjun dan tidak sedarkan diri.

“Pasukan penyelamat perlu mendaki kira-kira satu kilometer ke bahagian puncak air terjun untuk sampai lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Shazlean berkata rakan mangsa telah melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun mangsa tidak memberikan tindak balas. Rakan mangsa kemudian menghubungi talian kecemasan.

Katanya mangsa dibawa turun oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS