Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hulu Laknat, Kota Celaka' - MP desak tindakan pada MP Pendang
Diterbitkan:  Nov 3, 2025 1:52 PM
Dikemaskini: 8:46 AM
  • Dikemas kini dengan berita penuh.


Sany Hamzan menggesa Anggota Parlimen Pendang Awang Hashim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen susulan "kenyataan menghina" wakil rakyat PAS itu dalam Dewan Rakyat.

Sany memetik celahan Awang semasa ucapan penggulungan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Khamis lalu, dengan merujuk anggota parlimen Hulu Langat sebagai "Hulu Laknat".

Sany berkata tindakan itu menghina Daerah Hulu Langat, yang namanya diperkenankan oleh Sultan Selangor untuk digunakan secara rasmi dalam urusan pentadbiran dan perundangan negeri.

“Ia amat tidak wajar, tidak beradab, dan bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan serta tatakelakuan seorang ahli yang berhormat di Dewan Rakyat,” kata Sany.

Dalam Dewan Rakyat, anggota parlimen tidak menyebut nama masing-masing ketika berbahas, sebaliknya menggunakan nama kawasan parlimen yang diwakili.

Menurut Hansard, Awang pada 30 Oktober menggunakan perkataan "Hulu Laknat" sebanyak tiga kali.

Ia dilontarkan semasa ketegangan sebentar yang berpunca daripada celahan anggota parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan mengenai kenyataan Saifuddin tentang latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Masjid Rusila di Marang, Terengganu.

Awang cuba membangkitkan peraturan mesyuarat terhadap Sany, tetapi sesi yang dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Paya Besar Shahar Abdullah, mencapai penyelesaian baik susulan penjelasan Saifuddin.

Takiyuddin kemudian menganggap isu itu selesai.

Sementara itu, Anggota parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong, yang turut hadir pada sidang media itu, mengkritik Awang kerana menggelar menggunakan perkataan “Kota Celaka” terhadapnya.

Dia berkata Awang berbuat demikian pada 15 Oktober semasa perbahasannya mengenai Belanjawan 2026.

Menurut hansard 15 Oktober, Khoo mencetuskan kekecohan apabila dia menyasarkan anggota parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin yang tidak hadir dan cuba membangkitkan kes menantu bekas perdana menteri yang menjadi buruan.

Komen Khoo mendorong celahan daripada anggota parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Nor, yang mempengerusikan perbahasan itu, mengeluarkan amaran kepada kedua-dua anggota parlimen itu, selepas itu Awang bangun untuk membangkitkan peraturan mesyuarat terhadap Khoo.

“Saya nak beritahu – 36(6). Selalunya, bila berlaku kekacauan, kekecohan, mereka yang memulakan membuat provokasi sebelah sana, tambah-tambah ni, Kota Celaka ni, eh, Kota Melaka. [Dewan ketawa]

“Sorry, saya tersilap. Tambah-tambah, dia selalu buat provokasi, mengaitkan Pagoh. Selalu dia sebut, dia macam ada otak dia tu, Pagoh dalam otak dia. Disebabkan itulah, jadi riuh rendah,” kata Awang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS