Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) hari ini secara rasmi mengambil pendirian untuk meninggalkan PH secara serta-merta.
Setiausaha Agung Upko, Nelson W Angang berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat khas parti itu di Kota Kinabalu petang tadi dengan mengambil kira penyertaan mereka dalam PH seak empat tahun lalu.
“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Upko memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta.
“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam kenyataan sama, Nelson berkata mesyuarat khas yang diadakan petang tadi diadakan bagi membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju parti berkenaan.

Katanya, mesyuarat juga menyokong penuh keputusan Presiden Upko, Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.
Katanya, sepanjang tempoh empat tahun bersama PH, Upko menjadikan agenda Sabah First dalam perundingan berkaitan manifesto pilihan raya PH dan perbincangan dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.
“Bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara Upko dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu per tiga kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.
“Kepengerusian PH Sabah oleh Upko melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.
“Malah Upko turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH.
“Presiden Upko hanya dilantik sebagai coordinator (penyelaras) tetapi keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang telah diumumkan,” katanya.

Upko menyertai PH sebagai parti komponen terbaru gabungan itu pada 26 Ogos 2021. Ketika itu Upko diketuai Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
Untuk rekod Upko merupakan sebahagian daripada anggota BN namun meninggalkan gabungan berkenaan selepas PRU ke-14 dan memihak kepada Warisan – sebuah lagi parti yang berpangkalan di Sabah.
Pagi tadi Malaysiakini menyiarkan laporan bagaimana Upko memberi bayangan untuk memilih jalan sendiri dan bekerjasama dengan parti-parti lain yang dianggap selari dengan matlamat mereka.
"Anda akan mengetahuinya menjelang petang ini. Upko akan bekerjasama dengan parti-parti yang menyokong visi dan agenda Sabah First," kata Ewon kepada Malaysiakini.
Kekal junjung titah Agong
Ewon juga sebelum ini mengumumkan Upko akan bertanding dalam PRN Sabah dengan logo sendiri.
Menurut Nelson selepas menilai semula hala tuju perjuangan mereka, Upko membuat kesimpulan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah saja yang benar-benar memahami denyut nadi, jiwa, wawasan, impian masa depan negeri itu berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta hak-hak dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya Upko kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus Sabah adalah berasingan daripada tanggungjawab kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List).
Justeru, katanya, Upko terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First supaya pelaksanaan sebenar MA63 dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.
“Upko juga berpendirian bahawa hubungan baik kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah harus dijayakan, tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan MA63,” katanya.
Pada masa sama, Nelson memberi jaminan yang sikap dua arli parlimen mereka kepada kerajaan perpaduan tidak berubah.
“Ahli Parlimen Upko iaitu Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan kerajaan Persekutuan dikekalkan sehingga penggal ini berakhir,” katanya.
