Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy menggesa penyokong pergerakan itu supaya bertenang berikutan tindakan polis menahan lima orang pemimpin mereka bagi melumpuhkan pergerakan tersebut.

"Jangan emosi. Bertenang dan terskan perjuangan kita," kata Waythamoorthy yang menghubungi Malaysiakini dari London.

Beliau Kini berada di sana untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan Hindraf yang mahukan kerajaan berhenti meminggirkan masyarakat India.

Polis menahan lima pemimpin Hindraf termasuk abangnya, Uthayakumar, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengancam keselamatan negara.

Yang lainnya ialah peguam M Manoharan, R Kenghadharan dan V Ganabatirau serta setiausaha Hindraf T Vasantha Kumar.

Kelima-lima mereka dihantar ke Pusat Tahanan Kamunting untuk ditahan selama dua tahun tanpa dibicarakan. Waythamoorthy terlepas kerana berada di luar negeri.

"Jangan biarkan sesiapa pun memberitahu anda yang Hindraf sudah tidak ada kepimpinannya ekoran tindakan polis hari ini," kata Waythamoorthy.

Menurutnya, beliau akan terus memimpin Hindraf dari London, untuk merancang perjuangan pergerakan untuk mencapai matlamatnya untuk memperbaiki nasib masyarakat India.

"Saya akan mengeluarkan kenyataan dari sini dan berhubungan dengan yang lainnya di Malaysia mengenai langkah yang akan diambil selanjutnya," tambahnya.

Lindungi perjuangan

Beliau juga mengingatkan penyokongnya supaya jangan membiarkan parti politik merampas perjuangan mereka.

Sebaliknya, Waythamoorthy berkata, Hindraf akan kekal bebas daripada politik.

"Saya tahu akan ada parti-parti politik yang akan cuba masuk selepas penahanan lima pemimpin utama Hindraf hari ini. Pesanan saya kepada penyokong kami ialah jangan biarkan mereka merampas perjuangan kita," tambahnya.

Menurutnya lagi, beliau akan mengadakan tele-sidang media di pejabat Uthayakumar hari ini untuk menjelaskan langkah Hindraf langkah Hindraf selanjutnya.

"Sehingga itu, harap bertenang dan berdoalah untuk kami," katanya. Berita asal