Paling Popular
Terkini

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal bertembung dengan BN di sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas senarai calon mereka diumumkan.

Satu-satunya kerusi yang tidak akan ditandingi GRS di 42 kerusi yang akan ditandingi BN ialah kerusi DUN Sebatik.

Secara keseluruhan, GRS akan bertanding 55 kerusi dengan empat lagi kerusi masih belum diumumkan.

Senarai calon hari ini mengecualikan beberapa calon heavyweight, termasuk dua pemimpin Umno yang digantung keahlian dan dikhabarkan telah lama akan menyertai GRS.

Timbalan Ketua Menteri III sementara, Shahelmey Yahya, dan pembantu menteri, Andi Muhammad Suryady Bandy tidak berada dalam senarai 51 calon GRS yang diumumkan pada Rabu.

Shahelmey ialah ahli parlimen Putatan dan Adun Tanjung Keramat, manakala Andi merupakan Ahli Parlimen Kalabakan dan Adun Tanjung Batu.

Kedua-dua ahli politik berkenaan sebelum ini dijangka mempertahankan kerusi mereka di bawah GRS selepas digantung keanggotaan Umno tahun lalu kerana menentang arahan parti ketika “Langkah Kinabalu 2023.”

Namun, oleh sebab mereka memenangi kerusi masing-masing atas tiket BN, bertanding di bawah GRS dalam pilihan raya negeri boleh melanggar undang-undang antilompat parti dan menyebabkan mereka hilang status sebagai ahli Parlimen.

Meskipun begitu, terdapat spekulasi bahawa dua wakil rakyat Umno ini mungkin akan dimasukkan dalam empat kerusi terakhir yang belum diumumkan oleh GRS.

Selain Shahelmey dan Andi, seorang lagi tokoh yang diketepikan ialah veteran PBS, Jahid Jahim. Jahid merupakan Adun Tamparuli yang namanya sebelum ini disebut-sebut akan bertanding.

Nama Yusof Yacob (Adun Sindumin) dan Flovia Ng (Adun Tulid) juga digugurkan dengan kerusi mereka diserahkan kepada PKR sebagai sebahagian daripada persefahaman GRS-PH.

Shahelmey, Andi, Jahid dan Yusof sebelum ini dikaitkan dengan skandal rasuah perlombongan yang melibatkan usahawan Albert Tei.

Andi dan Yusof ketika ini menghadapi tuduhan menerima rasuah, manakala Albert turut dibicarakan atas tuduhan memberi rasuah.

Bagaimanapun, pemimpin lain yang turut dikaitkan dengan skandal rasuah, termasuk Menteri Kewangan ketika ini, Masidi Manjun, Presiden PBS sementara, Joachim Gunsalam, dan Adun Sook, Ellron Angin, masih tersenarai sebagai calon.

Antara calon yang turut menarik perhatian ialah Presiden Usno, Pandikar Amin Mulia, yang diletakkan bertanding di Pintasan, menggantikan penyandang Fairuz Renddan.

Isteri Pandikar, Diana Diego pula akan bertanding di Sekong, Semporna.

GRS juga mempertaruhkan Marunda KK Ampong sebagai calon bagi menentang Presiden Warisan, Shafie Apdal di Senallang; manakala Victor Paut pula akan menentang Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan di Tambunan.

Ketika ditemui wartawan, Hajiji menegaskan bahawa empat calon lagi akan diumumkan esok.

Dia berkata calon-calon gabungan itu menampilkan keseimbangan antara pemimpin berpengalaman dan golongan muda, dengan kira-kira 35 peratus terdiri daripada wajah baru.

“Calon-calon yang kami letakkan adalah gabungan pemimpin berpengalaman dan generasi muda,” katanya menambah GRS akan bertanding di 55 kerusi.

Hajiji juga menyeru penyokong gabungan itu serta parti komponen untuk bekerjasama bagi memastikan kemenangan.

“Dengan pengumuman ini, saya berharap semua penyokong GRS dan parti komponen akan bekerja keras untuk memastikan calon-calon kita menang.

“Kami yakin GRS akan menang dalam pilihan raya ini. Semua akan bertanding di bawah satu bendera — bendera GRS,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS