PARLIMEN l Pejabat Peguam Negara (AG) telah memutuskan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa tindakan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kerajaan memandang ringan isu berkaitan nyawa, hak asasi atau kebebasan.

“AG berpendapat ada asas untuk kemukakan (rayuan), termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan komitmen kewangan.
“Bukan bermaksud kerajaan pandang rendah soal nyawa, bukan, berbanding soal hak (asasi manusia) dan kebebasan, kerajaan lagi utamakan beban kewangan, tidak sama sekali.
“Ini atas prinsip tegakkan keadilan sejagat,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin berkata AG berpendapat terdapat asas kukuh untuk mengemukakan rayuan, dan langkah itu sedang diambil.
Katanya, antara pertimbangan yang diambil kira dalam keputusan itu termasuk implikasi kewangan serta kemungkinan meletakkan duluan (precedent) bagi kes-kes seumpamanya pada masa akan datang.
Sementara itu, Bernama mel,aporkan siasatan semula terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh akan dijalankan secara telus serta bebas daripada sebarang campur tangan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk melindungi mana-mana pihak, sebaliknya beriltizam melaksanakan sepenuhnya arahan mahkamah supaya kes berkenaan disiasat semula.
“Kerajaan ini menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan komited untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menubuhkan pasukan penyiasat walaupun siasatan sebelum ini tak pernah ditutup, tetapi kali ini akan diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat ACP.
“Mereka akan teliti semua kertas siasatan awal, laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), laporan pasukan petugas khas dan mendapat keterangan baharu. Kita mengajak mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang bertanyakan keputusan mahkamah berkaitan Amri dan Koh serta langkah seterusnya yang akan diambil kerajaan, khususnya menyentuh prosedur operasi standard (SOP) dan kewibawaan siasatan PDRM memandangkan badan itu mewarisi sejarah yang panjang dan rekod cemerlang sebagai agensi penguat kuasa terbesar negara.
