Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesilapan kontraktor baik pulih punca air bocor di KLIA
Diterbitkan:  Nov 15, 2025 9:55 AM
Dikemaskini: 1:55 AM

Insiden kebocoran air di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam berpunca daripada kesilapan kontraktor semasa kerja-kerja baik pulih bumbung dan pengalisan air yang sedang dijalankan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku ketika kerja-kerja baik pulih besar-besaran dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penyelenggaraan berterusan bagi menangani infrastruktur yang semakin uzur.

Menurut MAHB, kontraktor terbabit sedang menutup serta melindungi saluran perparitan di atas bumbung apabila aktiviti kilat semakin aktif di sekitar lapangan terbang.

Selaras dengan prosedur keselamatan, kata MAHB, semua kerja dihentikan serta-merta manakala para pekerja diarah mengosongkan kawasan bumbung.

“Dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengosongkan kawasan berikutan cuaca yang semakin buruk, kontraktor terbabit gagal menanggalkan papan lapis yang digunakan sebagai penutup sementara saluran perparitan.

“Keadaan itu menyebabkan satu daripada sistem perparitan bumbung tersumbat,” katanya.

Tambah MAHB, keadaan itu menghalang aliran air hujan yang lebat, menyebabkan ia bertakung di atas bumbung sebelum meresap ke siling sehingga mengakibatkan kebocoran dan menjejaskan sebahagian daripada kawasan balai berlepas.

MAHB memaklumkan pasukan respons di lapangan berjaya membersih serta memulihkan kawasan yang terjejas dalam tempoh satu setengah jam dan selepas itu, operasi diteruskan dengan selamat serta lancar seperti biasa.

Pengendali lapangan terbang itu turut memaklumkan kegagalan kontraktor mematuhi protokol kerja asas – khususnya ketika menanggalkan penutup sementara saluran perparitan –dikenal pasti sebagai punca langsung insiden tersebut.

Ia juga disifatkan MAHB sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima” bagi kerja-kerja membabitkan infrastruktur kritikal lapangan terbang.

“KLIA dipertanggungjawabkan oleh orang ramai untuk mengekalkan piawaian tertinggi, dan kami komited memastikan semua kontraktor serta rakan kongsi mematuhi piawaian tersebut.

“KLIA sedang mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terbabit bagi menangani kelemahan ini,” menurut kenyataan itu.

MAHB memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan kontraktor terbabit untuk memperkukuh prosedur kerja termasuk pemeriksaan ramalan cuaca secara mandatori sebelum memulakan aktiviti di atas bumbung, selain menambah baik protokol kecemasan bagi pemberhentian kerja ketika cuaca buruk.

Kerja-kerja baik pulih bumbung itu adalah sebahagian daripada projek selama setahun yang bermula pada April lalu bagi membaiki dan mengaliskan air di bumbung terminal utama sekali gus menjadi komponen penting dalam program pembaharuan infrastruktur MAHB yang lebih menyeluruh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS