Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berdepan pertandingan lima penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Perkara itu diumumkan pegawai pengurus pilihan raya di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, Ibrahim Terki.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9 pagi bersama-sama pencadang, Abdul Kassim Razali, dan penyokong Sylvia Belinggi.
Pada PRN lalu Hajiji memenangi kerusi Sulaman dengan majoriti 3,099 undi.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) ditentang calon muda dan muka baru mewakili BN, Dr Shahnon Rizal Thaijuddin, selain Mokhtar Hussin (Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (PN) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).
Terdahulu, penyokong GRS berarak dari Ibu Pejabat PGRS DUN Sulaman di pekan Tuaran bagi mengiringi Hajiji bersama tiga lagi calon parti itu iaitu Joniston Bangkuai (DUN Kiulu), Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Prof Madya Dr Bonaventure Bonaface (Tamparuli).
DUN Sulaman mempunyai 18,352 pengundi berdaftar.
Sementara itu untuk rekod Dewan Seri Sulaman juga merupakan pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.
Sementara itu, Hajiji ketika ditemui pemberita berkata dia yakin dapat mempertahankan kerusi Sulaman meskipun ditentang empat pencabar.
“Inilah demokrasi. Semua boleh bertanding. Tetapi, saya amat yakin GRS akan menang dengan majoriti besar,” katanya yang menyandang kerusi Sulaman sejak 1990.
Dia juga yakin GRS dan PH akan membentuk kerajaan pada 29 Nov ini.
- Bernama
