Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penampang bakal jadi pertembungan dramatik 2 bekas Adun

PRN SABAH | Penampang dijangka menjadi pentas beberapa pertembungan paling dramatik dalam PRN Sabah, dengan dua kerusi DUN utamanya — Moyog dan Kapayan — menarik bekas wakil rakyat kembali ke gelanggang dan mencetuskan persaingan yang tidak dijangka antara sekutu.

Di Moyog, bekas Adun kawasan itu, Terrence Siambun daripada Warisan dan Donald Peter Mojuntin daripada Upko masing-masing berusaha membuat kemunculan semula kali ini.

Terrence (gambar utama, kiri) menang kerusi Moyog dengan tiket PKR pada 2013. Dia kembali bertanding selepas penyandang kerusi itu, Darell Leiking, memutuskan untuk tidak mempertahankannya.

Kali ini, Terrence bergantung pada jaringan lamanya di kawasan yang dikenali dengan corak pengundian yang tidak menentu.

Donald (gambar utama, kanan) pula kembali dengan sokongan parti yang sedang berusaha untuk menjadi parti penting dalam politik Sabah.

Ia menjadi semakin menarik apabila PH mencalonkan Remysta Taylor, sekali gus mencetuskan pertembungan langsung dengan calon PBS yang disokong GRS, Joeynodd Bansin, walaupun wujud persetujuan antara kedua-dua pihak di peringkat pusat untuk mengelakkan pertembungan.

Remysta Taylor

Pertandingan 12 penjuru itu turut menampilkan Joseph Suleiman daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Mckery Victor Ninin daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), dan Walter Norbert Johnny daripada Parti Bumi Kenyalang Sabah (PBK).

Turut bertanding ialah Francis Mojikon (PN), Richard Dompok (Parti Kebangsaan), Cleftus Stephen Spine (Parti Impian Sabah), serta dua calon Bebas.

Situasi ini mencerminkan realiti pergolakan politik yang rumit di Penampang, yang sekian lama dianggap sebagai kawasan penentu bagi pengundi Kadazan-Dusun.

Di Kapayan yang terletak bersebahalan, seorang lagi tokoh kembali bertanding.

Bekas Adun, Edwin Bosi — kini bertanding di bawah KDM — mencabar penyandang daripada DAP, Jannie Lasimbang, dalam pertarungan 13 penjuru.

Edwin Bosi

Edwin yang menjadi Adun Kapayan dari 2013 hingga 2018, kekal sebagai tokoh dikenali di kawasan yang mana jaringan hubungan peribadi antara faktor penting.

Kepulangannya mencetuskan persaingan baru dalam kerusi yang dianggap PH sebagai kubu kuatnya.

Upko turut membuat langkah agresif melalui pembantu kepada presiden parti Ewon Benedick, iaitu Billy Joe Dominic, yang bertanding buat kali pertama.

Pencalonannya menandakan usaha Upko untuk mengukuhkan semula kedudukannya di kerusi-kerusi DUN Penampang selepas penjajaran politik sentiasa berubah sejak sekian lama.

Mereka menyertai calon-calon daripada Star, Parti Impian Sabah, Warisan, PBK, Parti Kerjasama Anak Negeri, Aspirasi, serta beberapa calon Bebas — mewujudkan medan persaingan yang begitu luas sehingga penganalisis memberi peringatan bahawa perpecahan undi boleh mengubah keseluruhan dinamika persaingan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS