Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | PRN Sabah: 'Cinta 3 segi' PH, pertarungan banyak penjuru

PANDUANKINI | Kempen bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah kini rancak berlangsung.

Seperti lazimnya, PRN Sabah menyaksikan pertandingan sesak, tanpa satu pun kerusi daripada 73 yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Lebih memburukkan keadaan, banyak parti membuat pertambahan calon pada saat akhir, menyebabkan pertembungan berlaku merata-rata.

Malaysiakini meneliti data pencalonan dan merumuskannya untuk pembaca.

Apa cerita ‘cinta tiga segi’ PH?

PH masuk ke gelanggang PRN bersama dua rakan berbeza — BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, BN dan GRS yang enggan bekerjasama, bertembung di 44 kerusi. Untuk konteks, BN bertanding di 45 kerusi.

Tetapi bukan hanya dua parti itu yang saling berlanggar.

Di Karamunting, satu-satunya kerusi di mana BN tidak berdepan GRS, ia sebaliknya bertembung dengan PH. Calon PH dari PKR, George Hiew — penyandang kerusi itu — melompat dari GRS ke PKR sejurus sebelum pilihan raya.

PH juga bertembung dengan GRS di Moyog, selepas PKR meletakkan calon di situ berikutan Upko keluar daripada PH.

Selain itu, terdapat tiga kerusi — Bandau, Kemabong dan Silam — di mana ketiga-tiga gabungan utama bertembung serentak. PH membuat keputusan saat akhir untuk bertanding di ketiga-tiga kerusi berkenaan.

Adakah ini bermakna ‘cinta tiga segi’ sudah berakhir?

Tidak. Serangan sesama sendiri ialah fenomena biasa dalam PRN Sabah, bahkan dalam satu gabungan yang sama.

Sebagai contoh, BN dan PN pernah bekerjasama pada 2020, bertembung di beberapa kerusi namun tetap bergabung membentuk kerajaan negeri.

Jika BN, GRS dan PH bersama-sama memenangi jumlah kerusi terbanyak kali ini, besar kemungkinan PH akan mendesak kedua-duanya untuk duduk semeja bagi membentuk kerajaan negeri.

Adakah Upko bertembung dengan PH?

Upko meninggalkan PH selepas berbeza pendirian mengenai hak tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah, selain ketegangan dengan PKR yang didakwa cuba melemahkan kedudukannya sebagai parti peneraju di Sabah.

Sebelum berpisah, Upko sepatutnya bertanding lima kerusi. Kini, parti itu bertanding di 25 kerusi.

Namun, Upko hanya bertembung dengan PH di sembilan kerusi.

Daripada jumlah itu, tujuh kerusi merupakan pertembungan dengan PKR di Bandau, Inanam, Petagas, Moyog, Melalap, Tulid dan Gum-Gum.

Upko juga menentang dua veteran DAP — Chan Foong Hing di Tanjung Aru dan Jannie Lasimbang di Kapayan.

Adakah Upko kerjasama dengan Star?

Selepas keluar daripada PH, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menyatakan minat untuk bekerjasama. Kedua-duanya berkongsi aspirasi mengurangkan pengaruh parti Semenanjung di Sabah.

Namun, hari penamaan calon mengesahkan tiada kerjasama — sekurang-kurangnya sepanjang kempen PRN.

Upko bertembung dengan Star dan sekutunya SAPP di 23 kerusi.

PRN Sabah kali ini meriah dengan calon?

Untuk gambaran, pertandingan paling kecil ialah empat penjuru di dua kerusi — Merotai dan kawasan presiden Warisan Shafie Apdal, Senallang.

Pertandingan enam penjuru — paling lazim — berlaku di 13 kerusi:

Pitas, Matunggong, Usukan, Darau, Likas, Kuala Penyu, Lumadan, Sungai Manila, Sekong, Lamag, Kunak, Apas dan Sri Tanjong.

Enam kerusi pula menyaksikan 11 penjuru, manakala terdapat 12 penjuru di Banggi dan Moyog, serta 13 calon masing-masing di Bandau, Tamparuli, Inanam dan Kapayan.

Kerusi paling sesak ialah Tulid, dengan 14 calon, termasuk enam calon bebas.

Apa maksudnya untuk pengundi?

Medan pertandingan yang sesak meningkatkan kemungkinan ramai calon menang tanpa majoriti sebenar.

Di bawah sistem first-past-the-post calon yang memperoleh undi tertinggi menang walaupun jumlahnya kurang daripada 50 peratus.

Tidak jarang di Sabah, calon menang dengan kurang daripada 40 peratus undi.

Ada kejutan lain?

Dashboard PRN Sabah SPR menyenaraikan Lasius Miki sebagai calon Pejuang — parti dipimpin Mukhriz Mahathir.

Namun, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali menafikan parti itu bertanding dan meminta SPR membetulkan kesilapan tersebut.

SPR kemudian menjelaskan terdapat ralat dan bahawa Lasius sebenarnya ahli Parti Perjuangan Rakyat, parti yang bertanding di enam kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS