Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tiada arak, itu cucumber apple slider’
Diterbitkan:  Nov 17, 2025 4:05 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan minuman didakwa arak dalam majisnya sebenarnya ialah cucumber apple slider dan tidak mengandungi sebarang alkohol.

KPKT sekali gus menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular yang cuba memberikan persepsi negatif berhubung penggunaan gelas berkaki bagi minuman itu semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT pada 8 November.

“Minuman cucumber apple slider yang disajikan kepada para tetamu merupakan minuman ringan berkarbonat dan tidak mengandungi sebarang alkohol. 

“Penyediaannya dalam gelas berkaki adalah selaras dengan standard katering yang lazim digunakan untuk majlis berprotokol,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, KPKT berkata mereka memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan yang boleh menjejaskan imej kementerian serta reputasi tetamu. 

KPKT juga berkata mereka membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tohmahan yang ditularkan untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada kementerian terlebih dahulu dan tidak membuat sebarang spekulasi tanpa usul periksa.

“KPKT kekal komited untuk memastikan setiap penganjuran majlis mematuhi garis panduan, nilai integriti dan sensitiviti masyarakat,” kata kementerian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS