Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menggesa kerajaan memperkenalkan kadar gaji minimum khusus untuk pengamal media, sebagai langkah menjamin kebajikan petugas industri itu termasuk wartawan sambilan yang didakwa masih menerima bayaran rendah.
GKMM berkata isu tersebut semakin mendesak selepas Persatuan Wartawan Sabah (SJA) membangkitkan keadaan gaji rendah yang menjejaskan sebahagian wartawan sambilan di negeri berkenaan.
“Oleh itu, GKMM merasakan sudah tiba masanya supaya kadar gaji minimum ditetapkan khusus
untuk industri media tempatan bagi meningkatkan standard profesion kewartawanan negara,
sekali gus menjamin aspek kebajikan dalam kalangan pengamalnya,” kata gabungan itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut gabungan itu, penetapan gaji minimum industri media akan menjadi penanda aras baru bagi memastikan kemampanan sektor tersebut serta menjadi rujukan kepada mana-mana majikan yang mengambil pekerja baru atau wartawan sambilan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan bahawa ada wartawan di Sabah yang sudah berkhidmat lebih sedekad masih menerima gaji sekitar RM2,000.
Dia menyifatkan keadaan itu tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup meningkat dan sebahagian syarikat media dilaporkan meraih keuntungan besar.
Bercakap pada majlis sarapan pagi dan sembang santai pengamal media Sabah pada Ahad lalu, perdana menteri berkata dia memahami tekanan yang ditanggung wartawan sambilan serta petugas yang dibayar mengikut tugasan harian.
Anggota parlimen Tambun turut mengarahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyediakan laporan menyeluruh mengenai struktur gaji pengamal media di seluruh negara, khususnya di Sabah.
Dalam sesi soal jawab pada majlis itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil menggesa perhatian segera terhadap isu gaji rendah dalam industri.
Anwar pada masa sama menegaskan komitmen kerajaan terhadap kebebasan media, namun meminta laporan yang lebih adil serta ruang yang seimbang diberikan kepada semua pihak, termasuk kerajaan.
Bawa ke Majlis Media
Sementara itu, GKMM berkata isu itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Media Malaysia (MMM) dalam masa terdekat bagi meneliti keperluan pelaksanaannya dan memulakan sesi libat urus bersama syarikat media.
“GKMM sentiasa mengutamakan kebajikan pengamal media, termasuk wartawan sambilan, agar ia terus diberi perhatian oleh syarikat media dan kerajaan,” kata kenyataan itu.
