Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada protes - Hamzah, MP Bersatu tunjuk sokongan pada Muhyiddin
Diterbitkan:  Nov 19, 2025 9:25 AM
Dikemaskini: 12:42 PM

Perhimpunan yang diuar-uarkan akan diadakan bagi menyokong timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, di luar rumah presiden parti itu, Muhyiddin Yassin malam tadi nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, mereka yang hadir menghadiri makan malam bersama Muhyiddin dan menunjukkan sokongan terhadap presiden Bersatu itu.

Dua hari sebelum itu, selepas jemputan untuk Ahli Parlimen Bersatu menghadiri majlis di Bukit Damansara itu tersebar, satu poster mula diedarkan dalam kumpulan WhatsApp bagi memaklumkan satu perhimpunan akan diadakan bagi mempertahankan Hamzah.

Mereka yang rapat dengan Hamzah menafikan poster itu dengan menyifatkannya sebagai “black ops” untuk memburukkan imej ketua pembangkang tersebut.

Ketika Malaysiakini dan media lain menunggu di luar pintu gerbang ke Jalan Setia Bakti, Kuala Lumpur pada jam 7.30 malam semalam, keadaan dilihat tenang.

Tiada protes berlaku di situ namun kereta peronda polis dilihat beberapa kali berlegar kawasan itu sepanjang malam.

Di rumah Muhyiddin, seramai 18 Ahli Parlimen, termasuk Hamzah, makan malam bersama presiden mereka.

Mereka yang lain ialah Radzi Jidin (Putrajaya), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Khlir Nor (Ketereh), Islahuddin Abas (Mersing), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Zakri Hassan (Kangar), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Azahari Hasan (Padang Rengas), Kalam Salan (Sabak Bernam), Nazri Abu Hassan (Merbok), Suhaimi Abdullah (Langkawi), dan Azman Nasrudin (Padang Serai).

Kecuali Hamzah, Radzi, Azman dan Suhaimi, semua Ahli Parlimen lain menandatangani surat kepada Muhyiddin dua minggu lalu.

Surat itu membantah tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; serta timbalan presiden.

Wan Saiful dipecat daripada Bersatu, manakala Wan Fayhsal digantung kerana menyokong usaha Hamzah untuk menggantikan Muhyiddin.

Dua lagi yang menandatangani surat berkenaan iaitu Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), tidak hadir. Saifuddin secara terbuka menentang Muhyiddin.

‘Semua baik-baik sahaja, jangan risau’

Sumber memberitahu Malaysiakini selepas makan malam, satu mesyuarat diadakan dan berakhir hampir jam 11 malam.

Kalam berkata kepada wartawan dalam perjalanan pulang: “Kami tidak membincangkan apa-apa berkaitan menggantikan ketua pembangkang atau presiden parti.”

Ini merujuk kepada khabar angin pada hari sama bahawa terdapat rancangan untuk menggantikan Hamzah dengan Radzi sebagai pemimpin pembangkang di Parlimen.

“Kami hanya bincang mengenai pilihan raya Sabah dan cara memperkuatkan parti,” kata Kalam.

Beberapa Ahli Parlimen lain berkata kepada media bahawa “semua berjalan lancar, jangan risau” berhubung perjumpaan malam tadi.

Hampir tengah malam, Radzi memuat naik video di media sosial menunjukkan tetamu yang hadir berulang kali melaungkan sokongan mereka terhadap presiden Bersatu.

Abdul Khalib juga mengeluarkan kenyataan kemudian yang menggambarkan mesyuarat malam tadi sebagai bukti bahawa kepimpinan parti itu tetap teguh dalam komitmen mereka terhadap perpaduan dan disiplin.

"Kami akan terus berdiri bersama presiden, timbalan presiden, dan kepimpinan Bersatu yang telah diamanahkan untuk memperjuangkan rakyat tanpa rasa takut dan berkompromi dengan prinsip mereka," katanya.

Dia juga menekankan bahawa parti dan gabungan Perikatan Nasional komited untuk memainkan peranan mereka sebagai pembangkang yang berkesan dan membina.

Baru-baru ini, Muhyiddin menghadapi tekanan dari dalam parti itu untuk menyerahkan jawatan kepada Hamzah, dengan pengkritik berkata langkah itu perlu untuk menghidupkan semula Bersatu dan membina momentum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Namun buat masa ini, Muhyiddin sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega dengan kesetiaan ditunjukkan kebanyakan ahli parlimen parti itu terhadapnya.

Hamzah sebelum ini berkata Muhyiddin akan menyerahkan tampuk kepimpinan Bersatu kepadanya apabila tiba masa sesuai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS