PRN SABAH | Pelancaran manifesto PH Sabah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan esok ditangguhkan sehingga Ahad ini berikutan isu penterjemahan, kata Timbalan Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin.
Chan yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud.
“Saya baru sahaja berhubung dengan Datuk Mustapha... dia beritahu saya (pelancaran manifesto itu) ditangguhkan kepada Ahad ini.
"Khamis tidak sempat kerana ada isu penterjemahan,” katanya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian kepada pemberita selepas program Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya hari ini.
Semalam, Mustapha memaklumkan kepada media bahawa PH akan melancarkan manifesto gabungan itu pada Khamis dengan fokus utama menubuhkan tabung khas bagi rakyat Sabah, selain memberi penekanan kepada penyelesaian isu-isu asas di negeri itu.
Chan juga berkata, sebagai antara individu yang terlibat dalam proses mendraf dokumen itu, manifesto PH adalah realisitik, serta tidak menjanjikan "bulan dan bintang" kerana hanya berkisar tentang memenuhi keperluan asas rakyat.
Dia turut menepis kritikan yang mendakwa anggaran kos projek pembinaan kompleks sekolah baru yang dikhususkan untuk Pulau Gaya adalah tidak wajar sambil menegaskan bahawa akses kepada pendidikan tidak seharusnya dinilai dengan harga, dan ia bukan bermotifkan pilihan raya.
“Saya ada atau tidak ada, projek itu tetap berjalan... cuma saya mengetahui rancangan pelaksanaannya lebih awal kerana saya berada dalam pentadbiran kerajaan.
“Sebagai kerajaan, kita tidak boleh menafikan hak pelajar untuk mendapat pendidikan kerana pendidikan adalah untuk semua dan tidak ternilai harganya.
"Kita tidak boleh meletakkan harga pada ilmu, jadi saya rasa (dakwaan bahawa projek) ini (terlalu mahal adalah) satu tanggapan yang salah dan memainkan sentimen,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
N22: TANJUNG ARU (21,264 pengundi berdaftar)
* Datuk Loh Ee Eng (PBK)
* Hiew Choon Yu (STAR)
* Datuk Wong Hong Jun (Warisan)
* Yee Wee Ping (PIS)
* Dennison R Indang (UPKO)
* Mohamed Zaim Ansawi (Bebas)
* Ritchie Jay Cheng (Bebas)
* Suhaimi Buang (PN-Bersatu)
* Datuk Chan Foong Hin (PH-DAP)
- Bernama
