Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu pemain warisan: KBS, KDN bertindak secara bersama
Diterbitkan:  Nov 19, 2025 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengambil langkah wajar berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan skuad kebangsaan selepas meneliti alasan bertulis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata KBS mengikut rapat perkembangan kes tersebut, dan peranan KDN adalah kritikal memandangkan aspek jenayah berada di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

"Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail) tetapi belum dapat lagi maklum balas. Saya sendiri sedang meneliti alasan bertulis penuh Fifa.

“Saya rasa bagi beliau masa untuk meneliti juga dan kemudian saya pasti KDN akan menjawab,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pengumuman penajaan Skechers bersama atlet negara ke Sukan SEA 2025 Thailand, di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Rayuan Fifa mengarahkan sekretariat mengambil langkah sewajarnya untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa di lima negara iaitu Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.

Menurut jawatankuasa itu, pemalsuan merupakan satu kesalahan jenayah di negara-negara terbabit dan penting pihak berkuasa berkaitan dimaklumkan supaya siasatan serta prosiding jenayah sewajarnya dapat dijalankan.

Yeoh berkata KBS akan memberi penerangan lanjut berhubung persoalan membabitkan FAM dan Fifa di parlimen esok.

“KBS akan menggulung dalam parlimen iaitu belanjawan KBS untuk 2026 akan dibahaskan oleh ahli-ahli parlimen. Jadi, semua ini akan dijawab dalam parlimen,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS