Para penyokong Hindraf berhimpun dekat dengan Pusat Tahanan Kamunting di mana lima pemimpin mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 13 Disember lalu.

Mereka turut melepaskan burung merpati sebagai menuntut supaya kelima-lima mereka dibebaskan.

Pemimpin Hindraf yang ditahan itu ialah P Uthayakumar; peguam M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau - dan setiausaha Hindraf, T Vasanthakumar.

Mereka ditahan di bawah ISA yang membolehkan tahanan tanpa bicara.

Menurut pihak penganjur, sekurang-kurangnya 2,000 orang hadir serta mengadakan sembahyang di sebuah kuil berhampiran mendoakan agar mereka dilepaskan lebih awal, selepas pihak polis menutup jalan-jalan menuju ke pusat tahanan tersebut, kata penyelaras Hindraf, RS Thanenthiran kepada AFP.

"Mereka bukannya pengganas. Kerajaan lari dari isu sebdenar, iaitu masyarakat terpinggir di Malaysia. Kami menuntut mereka dibebaskan dengan segera," katanya sambil menambah perhimpunan hari ini adalah untuk memberi sokongan kepada keluarga tahanan berkenaan.

Manakala 31 penyokong Hindraf ditahan kerana menyertai perhimpunan di luar kuil Batu Caves. Mereka telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis ketika perhimpunan tersebut.

Pada 25 November lalu, kira-kira 30,000 orang, sebahagian besarnya dari kalangan masyarakat India, menyertai perhimpunan anjuran Hindraf di Kuala Lumpur yang mendesak supaya ditamatkan diskriminasi terhadap masyarakat tersebut.

Polis menggunakan gas pemedih dan tembakan air untuk menyuraikan mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.