Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasangan kekasih disyaki terlibat 21 kes pecah kereta diberkas
Diterbitkan:  Nov 19, 2025 9:05 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

Kegiatan licik pasangan kekasih mencuri dengan memecahkan cermin kereta sasaran mereka di kawasan parkir awam sejak setahun lalu akhirnya tumpas apabila kedua-duanya ditahan polis pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata pasangan terbabit - yang berusia 36 dan 47 tahun - disyaki terlibat dalam 21 kes pecah cermin kereta dan melibatkan kerugian lebih RM100,000.

Katanya suspek ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sri Cemerlang susulan kejadian pecah cermin kira-kira jam 6.10 petang hari yang sama di parkir pasa raya Eco di Jalan Wakaf Mek Zainab.

Penahanan itu, katanya, membawa kepada rampasan sebuah telefon genggam, sebuah peranti elektronik, sebuah komputer riba, tujuh beg pelbagai jenis, tiga kad bank, lima kad peribadi, sebuah kereta Perodua Bezza, kotak skru, spanar serta sebentuk cincin.

“Siasatan mendapati mereka aktif sejak setahun lalu dan lelaki terbabit turut mengaku melatih beberapa pelatih bahu.

"Modus operandi mereka ialah menyasarkan parkir premis yang tiada kamera litar tertutup bagi mengelak dikesan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Menurut Mohd Yusoff, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah narkotik dan satu rekod jenayah lain, manakala pasangannya tidak mempunyai rekod lampau.

Katanya, pasangan terbabit turut didapati positif metamfetamina dan direman empat hari. Kes itu, kata Mohd Yusoff disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata seorang anggota polis berusia 43 tahun ditahan selepas disyaki melakukan samun dengan mengacukan pistol tiruan terhadap seorang pekerja wanita di sebuah kedai di Kota Bharu pada 10 Nov lalu.

“Suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa semalam.

"Polis merampas dua motosikal, sepucuk pistol tiruan, 12 pil kemerahan disyaki dadah, tiga topi keledar, satu rantai jam tangan putih, dua beg sandang, sepasang kasut, sepasang selipar, sepasang sarung tangan dan dua topeng muka. Suspek juga positif dadah,” katanya.

Dia berkata siasatan awal mendapati suspek turut melakukan empat lagi kes samun di sekitar Kota Bharu menggunakan modus operandi sama iaitu mengacukan senjata tiruan untuk menakutkan mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS