Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan tubuh jawatankuasa khas teliti keperluan dasar atau larangan Bitcoin

Sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai wakil kementerian dan agensi berkaitan akan ditubuhkan untuk membincangkan keperluan mewujudkan dasar khas aktiviti Bitcoin atau mengharamkannya.

Jawatankuasa khas itu, yang turut dianggotai wakil Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga, dijangka mengadakan mesyuarat pertama pada bulan depan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata antara wakil lain adalah daripada Kementerian Digital, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia dan Jabatan Kerajaan Tempatan

“Mesyuarat pertama pada bulan depan akan meneliti sekiranya ada keperluan untuk mengadakan suatu dasar, sama ada perlu mengharamkan atau tidak aktiviti Bitcoin, di samping penambahbaikan Akta 447 (Akta Bekalan Elektrik 1990),” katanya ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal berkata jawatankuasa itu juga akan membincangkan mengenai perundangan dan perkara lain yang melibatkan rentas kementerian dan agensi berkaitan dengan kecurian bekalan elektrik seperti tindakan pemantapan atau penambahbaikan sistem pencegahan sedia ada.

TNB dilaporkan mengalami kerugian RM4.57 bilion dari 2020 hingga Ogos lepas akibat penggunaan bekalan elektrik secara haram di premis yang menjalankan aktiviti melombong mata wang kripto, khususnya Bitcoin.

Selain itu, beliau berkata MyPower Corporation telah diberi mandat sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) untuk menerajui kesiapsiagaan negara ke arah pembangunan tenaga nuklear pada masa hadapan.

“MyPower turut dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan hasil kajian prakebolehlaksanaan yang telah siap pada Disember 2024.

“MyPower sedang memperincikan penilaian berasaskan 22 syor utama daripada kajian itu bagi memastikan setiap cadangan diteliti secara mendalam sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan kerajaan,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM5,191,702,000 kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS