Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MV Cinta Negara Selamanya: 'Kalau tak tahu guna AI, buat saja animasi sendiri'

Video muzik (MV) lagu patriotik, Cinta Negara Selamanya terbitan RTM menjadi kontroversi dan menuai kecaman pengguna media sosial selepas dikatakan menggunakan imej individu tanpa izin.

Video berdurasi tiga minit itu memaparkan animasi yang dijana kecerdasan buatan (AI) dan menjadi tular sejak awal disiarkan dan disifatkan pengguna media sosial sebagai “memalukan” dan mencerminkan krisis identiti. 

Ia selepas seorang jurugambar dan penyelidik bebas, Dome Nikong mendedahkan peniruan imej individu tanpa izin, menerusi hantarannya di Facebook baru-baru ini.

Dome atau nama sebenarnya Suzairi Zakaria berkata pada saat ke-31 video tersebut, dia mengenal pasti gambar penyelidik Universiti Oxford, Dr Chris Thorogod telah ditiru dan dijana semula menggunakan AI tanpa pengetahuannya. 

Menurutnya, imej itu dijana berdasarkan gambar asal yang dirakam di Indonesia dan Chris tidak mengetahuinya sehinggalah dia memaklumkannya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Dome mendakwa pemikin video tersebut MV berkemungkinan besar mengambil gambar Thorogod menerusi carian Google sebelum dijana AI dengan gaya anime.

“Ini bukan visual AI seratus peratus. Ia berasaskan gambar orang lain yang ‘dicuri’. Perbuatan ini jelas tidak selari dengan konsep Madani.

“Sebagai stesen TV nasional, ini memalukan dan tiada rasa kecintaan kepada negara. Chris pun bukan orang Malaysia,” katanya yang giat dalam dunia fotografi alam semula jadi.

“Kalau tak tahu guna AI, buat sahaja animasi tradisional. Kita ada ramai animator berbakat,”katanya lagi.

Lagu ini dihasilkan oleh Mokhzani Ismail dengan lirik oleh Rafiza Rahman, dinyanyikan Stacy dan diterbitkan sepenuhnya oleh Orkestra RTM.

Sementara itu, ruangan komen di Facebook Orkestra RTM dihujani kecaman ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan penggunaan Ai dengan gaya anime dan visual ala Studio Ghibli dalam video tersebutt. 

Mereka berpandangan gaya tersebut sinonim dengan budaya Jepun dan justeru tidak mencerminkan identiti Malaysia.

Beberapa pengguna Facebook juga membangkitkan isu hak cipta dengan mengingatkan tentang teguran kerajaan  Jepun kepada OpenAi awal tahun ini mengenai peniruan gaya manga dan anime tanpa kebenaran.

Malah ada yang mempersoalkan mengapa RTM tidak menggunakan pelakon sebenar atau sekurang-kurangnya mendapatkan khidmat studio animasi tempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS