Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bawah umur 16 tahun dilarang buka akaun media sosial mulai 2026
Diterbitkan:  Nov 23, 2025 5:52 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Kanak-kanak Malaysia berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun media sosial mulai tahun depan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, sebagai antara usaha kerajaan memperkukuh keselamatan dalam talian untuk golongan bawah umur.

"Kita harap menjelang tahun depan, platform-platform media sosial akan akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial," katanya seperti dipetik BH Online.

“Selain melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan juga sedang meneliti pelaksanaan had umur umum seperti yang dilakukan Australia dan negara lain terutama dari segi mekanisme penguatkuasaan.

"Negara yang berbeza mungkin mengambil pendekatan yang berbeza, namun kita akan mengkaji kaedah yang paling sesuai untuk memastikan mereka di bawah umur 16 tahun dihalang daripada mempunyai akaun media sosial," katanya.

Fahmi berkata salah satu mekanisme yang sedang dipertimbangkan ialah mewajibkan platform media sosial melaksanakan pengesahan eKYC yang melibatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.

"Kita menjangkakan platform dapat melaksanakannya menjelang tahun depan. Saya percaya bahawa jika kerajaan, badan kawal selia dan ibu bapa memainkan peranan masing-masing, kita dapat memastikan internet di Malaysia bukan sahaja pantas, meluas dan mampu milik, tetapi yang paling penting, selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga" tambahnya sambil menyebut Australia akan melaksanakan had umur media sosial bulan depan.

Larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun itu akan dilaksanakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, berkuat kuasa 1 Jan.

Fahmi turut menggesa ibu bapa menggalakkan aktiviti luar dan menghadkan masa skrin, selain memantau penggunaan gajet anak-anak.

Kabinet sebelum ini menaikkan had umur minimum media sosial daripada 13 kepada 16 tahun, yang mewajibkan platform mengesahkan umur pengguna melalui dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, atau MyDigital ID menerusi sistem eKYC.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengulas insiden keganasan di sekolah berkata penggunaan media sosial tanpa kawalan menjadi punca utama kebanyakan kes berkenaan.

Dia berkata tanggungjawab itu sudah tentu kembali kepada ibu bapa dan sekolah.

"Apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial, aplikasi (tidak dikawal),” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas seorang pelajar Tingkatan Empat didakwa ditikam hingga mati di tandas sekolah oleh rakan sekolahnya berusia 14 tahun di Bandar Utama.

Sebelum itu, empat pelajar Tingkatan Lima ditahan kerana didakwa terbabit dalam kes rogol beramai-ramai terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga di Alor Gajah, Melaka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS