Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengkujuh: Selangor berjaga-jaga, Sri Muda di bawah pemantauan harian
Diterbitkan:  Nov 24, 2025 10:17 AM
Dikemaskini: 2:17 AM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor telah menerbitkan senarai empat daerah yang kini di bawah pemantauan harian bagi berdepan kemungkinan banjir kilat, termasuk Sungai Besar, Bestari Jaya, Shah Alam dan Bukit Jelutong.

Ini merangkumi kawasan termasuk Taman Sri Muda di Shah Alam, yang menyaksikan 14 orang terkorban dalam banjir pada Disember 2021.

Turut diliputi ialah kawasan lain di Seksyen 25 Shah Alam dan Padang Jawa, yang menyaksikan dua terkorban akibat renjatan elektrik semasa banjir kilat April lalu.

Setakat laporan ini disiarkan, hanya satu operasi pemindahan banjir telah berlaku di daerah Sungai Besar di Sabak Bernam, dengan sekurang-kurangnya 60 penduduk kehilangan tempat tinggal dan dipindahkan ke tempat perlindungan sementara.

Tiada kematian direkodkan setakat ini.

Hujan lebat turun di Lembah Klang sejak malam tadi, dengan laporan cuaca menunjukkan ia akan berterusan.

Sekitar jam 7.35 pagi hari ini, Met Malaysia juga mengeluarkan amaran ribut petir berterusan, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri Selangor (Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, dan Pahang (Bera).

Ribut petir berterusan telah berlaku di seluruh negara disebabkan oleh peralihan musim tengkujuh.

Maklumat terkini daripada portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan sekurang-kurangnya 10,538 mangsa di tujuh negeri yang terjejas akibat banjir kilat.

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis paling teruk terjejas. Lebih 8,000 mangsa banjir dilaporkan berada di Kelantan.

Baru semalam, kerajaan juga telah menyelaras usaha untuk memindahkan sekurang-kurangnya 4,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai, Thailand akibat banjir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS