Sebuah empangan di selatan Thailand pecah akibat hujan lebat dan memburukkan lagi keadaan banjir di Kelantan.

Akibatnya, paras air di Sungai Golok, yang menjadi sempadan Malaysia dan Thailand, telah naik dan melimpah secara mendadak ke kawasan yang terletak berhampiran termasuk Rantau Panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini, empangan di selatan Thailand itu pecah beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, Najib, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara, berkata beliau akan ke Kelantan Rabu ini untuk melawat mangsa banjir dan memantau keadaan di sana.

Menurut Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, lebih 4,000 penduduk sekitar Sungai Golok di jajahan Pasir Mas diarahkan berpindah kerana paras air sungai itu semakin naik dan diburukkan lagi dengan hujan lebat malam tadi, demikian menurut Bernama.

Jumlah keseluruhan yang dipindahkan di Kelantan sehingga pagi ini ialah 6,039 orang berbanding 3,772 orang malam tadi.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang ketika ini berada pada bacaan 10.51 meter, melebihi paras bahaya iaitu 9 meter.

Najib berkata banjir di beberapa kawasan di Pahang pula kian reda manakala di Johor ia belum serius tetapi bencana itu telah menyebabkan kerosakan infrastruktur agak teruk.

"Langkah baik pulih akan kita lakukan sebaik sahaja keadaan mengizinkan," katanya.

Mengenai ancaman banjir kali kedua yang dikenali sebagai "gelombang kedua", Najib berkata anggota tentera dan polis sudah dikerahkan bagi membantu menghadapi banjir yang lebih buruk nanti.

"Kita tidak boleh tafsirkan (gelombang kedua akan berlaku) sekarang sebab banjir belum lagi tamat, hanya ramalan supaya bersiap sedia kemungkinan ada pusingan kedua, ini perlu kita berhati-hati," katanya.

Kepada badan korporat dan syarikat swasta yang ingin menyumbang kepada mangsa banjir, Najib menasihatkan mereka supaya berurusan dengan kerajaan negeri dahulu bagi mengelak masalah daripada segi pengagihan bantuan.