Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tular video gelandangan disimbah air - AmBank mohon maaf
Diterbitkan:  Nov 25, 2025 3:46 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

AmBank hari ini memohon maaf susulan tularnya video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki yang dipercayai gelandangan disimbah air dan ditendang di luar cawangan Taman Maluri, Kuala Lumpur

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata pihaknya "amat prihatin dan sedih" dengan insiden tersebut, dan menegaskan bahawa keselamatan di sekitar premis bank itu adalah keutamaan mereka.

“Kami amat sedih dan prihatin dengan apa yang berlaku. Tiada individu wajar dilayan sebegitu rupa.

“Kami sedang bekerjasama dengan semua pihak berkuasa dan adalah matlamat kami bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang,” kata bank berkenaan.

Video itu memaparkan lelaki berkenaan yang sedang tidur di laluan pejalan kaki berhampiran cawangan bank itu disembur dengan air oleh seorang pengawal keselamatan, manakala seorang lelaki berasingan kemudian menendangnya.

Dia kemudian mencampakkan barang-barangnya dan menyimbah lelaki yang baru dikejutkan dari tidurnya terpingga-pingga.

Menurut AmBank, pengawal keselamatan dalam klip tersebut adalah pekerja penyedia perkhidmatan keselamatan luaran yang dilantik oleh bank itu, manakala lelaki kedua dipercayai seorang tukang kasut yang kurang senang dengan kehadiran gelandangan itu.

"Walau bagaimanapun, kami mengharapkan semua kakitangan yang mewakili bank kami, termasuk vendor dan rakan kongsi, untuk menegakkan tingkah laku profesional yang tertinggi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS