Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PN gesa SPRM tak berlengah siasat Shamsul
Diterbitkan:  Nov 26, 2025 11:30 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Ahli Parlimen Perikatan Nasional menggesa SPRM untuk segera menyiasat Shamsul Iskandar Md Akin selepas dia dituduh menerima faedah bernilai lebih RM600,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei.

Mereka juga mahu SPRM menyiasat Shamsul berhubung surat sokongan yang ditulisnya tahun lalu untuk enam kontraktor yang ingin menyertai projek hospital.

“Sehubungan perkembangan ini, ahli parlimen PN mendesak SPRM supaya segera menjalankan siasatan tanpa berlengah, menyeluruh dan bebas bagi menentusahkan dakwaan yang dibuat kerana ia melibatkan seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri.

"Jika tidak ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang,” kata ketua whip PN Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan pagi ini.

Dia juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk menawarkan kerjasama penuh mereka kepada SPRM, dan mengingatkan bahawa semua bentuk salah laku mesti tertakluk kepada undang-undang, tanpa pengecualian atau pilih kasih.

Semalam, Tei mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa dia telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul selepas didakwa diyakinkan bahawa Shamsul boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Antara lain, ahli perniagaan itu mendakwa telah membayar untuk pengubahsuaian, peralatan dan perabot untuk dua hartanah – satu di Bangsar dan sebuah kediaman rasmi di Putrajaya.

Tei juga memberikan Malaysiakini tangkap layar perbualan WhatsApp dari Disember 2023 dengan Shamsul didakwa meminta wang semasa melancong ke luar negara.

Kemudian, satu video dikeluarkan memaparkan seorang wanita - yang didakwa proksi Shamsul - mendakwa bahawa Anwar memberi restu kepada pengerusi PKR Melaka itu untuk mendorong Tei merakam video rahsia ahli politik Sabah yang membincangkan rasuah.

Shamsul telah meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar.

Minggu lalu, isu surat sokongan yang ditulisnya tahun lalu juga muncul semula di Parlimen.

Sebagai tindak balas, Anwar berkata dia telah menegur Shamsul. Namun, Anwar kemudiannya menolak gesaan untuk memecat Shamsul.

Sementara itu, Pemuda PAS juga menggesa ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis beramai-ramai terhadap Shamsul.

Mereka menyifatkan tuduhan Tei sebagai serius kerana melibatkan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan peribadi.

"Meskipun Shamsul telah meletakkan jawatannya sebagai setiausaha politik perdana menteri, ia tidak boleh dijadikan 'jalan keluar' untuk mengenepikan siasatan penuh," kata mereka dalam catatan Facebook pagi ini.

"Kami menggesa untuk siasatan dan tindakan tegas mesti diteruskan tanpa sebarang kecondongan, dan tindakan tegas harus dikenakan ke atas mana-mana pihak yang terbabit, termasuk individu yang memberi arahan kepada Shamsul," tambah mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS