Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gagal hadir mahkamah, waran tangkap untuk pengasas eHati, kaunselor
Diterbitkan:  Nov 26, 2025 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan kaunselornya selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Hakim Syarie Dr Zainal Abidin Kusmin mengeluarkan perintah itu terhadap Nur Diyanah Md Tahir dan Zatul Asmah Mat Isa selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie Husaini Roslin.

Mahkamah turut mengarahkan pihak berkuasa membuat carian di Imigresen terhadap Nur Diyanah, yang beralamat di Damansara, dan memberi kuasa kepada pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam untuk menahan Zatul Azmah, yang juga pegawai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Zainal Abidin menetapkan 5 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, rakan pengasas eHati itu selaku penjamin telah dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung ketidakhadiran wanita tersebut ke mahkamah.

Wanita itu berkata kesanggupan beliau untuk menjadi penjamin tidak lebih daripada sifat belas kasihan kerana keluarga pengasas eHati berkenaan tidak hadir untuk membantu.

"Saya berkawan dengan dia sejak 2021 tapi tidak pernah ke rumahnya," kata wanita itu yang bekerja sebagai doktor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS