Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kebakaran bangunan di Hong Kong berjaya dikawal secara berperingkat 
Diterbitkan:  Nov 27, 2025 12:00 PM
Dikemaskini: 4:00 AM

Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee pada awal Khamis berkata kebakaran di Wang Fuk Court, sebuah kompleks kediaman di Tai Po berjaya dikawal secara berperingkat hasil usaha berterusan pasukan bomba, lapor Xinhua.

Lee berkata dari pemerhatian luar, tiga bangunan kini tidak lagi menunjukkan nyalaan api ketara, manakala empat bangunan lain hanya menampilkan titik-titik kebakaran terpencil.

Sementara itu, tiga lelaki ditahan kerana disyaki menyebabkan kematian tanpa niat dalam insiden kebakaran itu, menurut Pasukan Polis Hong Kong pada sidang media Khamis.

Setakat awal pagi Khamis, kebakaran itu mengorbankan 44 orang dan mencederakan 45 yang lain.

Lee menegaskan kerajaan HKSAR akan menggembleng semua sumber untuk menyokong penuh operasi menyelamat.

Beliau turut mengarahkan jabatan dan agensi terlibat menjalankan tindakan menyeluruh termasuk memadamkan kebakaran, menyelamatkan mangsa terperangkap, merawat, memberi bantuan serta sokongan emosi kepada keluarga, serta melaksanakan siasatan lengkap terhadap kejadian.

Jabatan Perkhidmatan Bomba HKSAR menerima makluman mengenai kejadian itu sekitar 2.51 petang waktu tempatan pada Rabu.

Wang Fuk Court terdiri daripada lapan blok kediaman dan kebakaran itu merebak dari satu bangunan ke tujuh bangunan lain.

Pihak Berkuasa Hospital Hong Kong telah mengaktifkan Pusat Kawalan Insiden Utama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS