Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua masjid dan surau Jumaat Jakim, Jawi diminta solat hajat esok
Diterbitkan:  Nov 27, 2025 9:01 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Semua masjid dan surau Jumaat di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah untuk melaksanakan solat hajat khas selepas solat Jumaat, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata solat hajat itu bagi memohon perlindungan Allah SWT agar negara dan rakyat dijauhkan daripada sebarang musibah termasuk banjir, ribut dan kerosakan harta benda serta segala bentuk ujian yang menimpa masyarakat.

"Semoga ia menjadi medan kita bermunajat memohon agar dipermudah segala urusan pasukan keselamatan, agensi kerajaan serta sukarelawan yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa terlibat, jua kita berdoa agar masyarakat yang diuji dikurniakan kekuatan, kesabaran dan perlindungan yang berpanjangan.

"Semoga dengan ikhtiar doa dan munajat seluruh umat, Allah SWT mengangkat segala kesulitan, menurunkan rahmat serta mengurniakan kesejahteraan kepada negara tercinta, Malaysia," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip hari ini berkata penduduk di Selangor, Perak dan sebahagian Pahang dinasihatkan berwaspada kerana ribut tropika Senyar yang boleh menyebabkan cuaca tidak menentu dijangka melanda berterusan bermula seawal tengah malam ini hingga Sabtu.

Ribut berkenaan juga dijangka turut memberi kesan kepada Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS