Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira sejam selepas memberikan keterangan di ibu pejabat badan antirasuah itu tengah hari tadi.
SPRM dijangka memohon perintah reman terhadapnya, bersama seorang lagi saksi – ahli perniagaan Albert Tei – di Mahkamah Majistret Putrajaya., pagi esok.
Perkara itu diumumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di TikTok sebentar tadi.
"Ingin saya tegaskan, kes ini merupakan kes berkepentingan awam dan atas faktor itu SPRM telah menjalankan siasatan dengan kadar segera agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.
"Sehingga saat saya memberi kenyataan ini, SPRM telah menahan ketiga-tiga individu berkenaan iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing dan juga wanita bernama Sofia Rini Buyong untuk membantu siasatan.
"Sofia Rini telah ditahan pada 27 Nov lalu jam 10.30 malam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan," katanya dalam video yang dimuat naik di TikTok SPRM.
Azam menjelaskan, Shamsul Iskandar pula ditahan ketika hadir di pejabat SPRM jam 12.51 tengah hari bagi membantu siasatan.
"SPRM akan menyiasat kes ini secara profesional dan adil berlandaskan lunas undang-udang," katanya lagi.
Sebelum ini Tei mendedahkan dia memberikan wang kepada ahli politik di Sabah untuk mendapatkan lesen cari gali mineral, namun akhirnya dia tidak memperoleh lesen tersebut.
Terbaru dia mendakwa telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul Iskandar yang didakwanya sudah memberi jaminan akan mendapatkan semula yang telah disalurkan kepada ahli politik terbabit.
Dalam pendedahan membabitkan dokumen 300 halaman, Tei mendakwa dia telah memberi wang tunai, membeli perabot untuk kegunaan di kediaman Shamsul Iskandar selain menghabiskan RM8,000 untuk menempah sut.
Azam berkata SPRM berpendapat mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan agensi antirasuah itu menahan ketiga-tiga individu terbabit berhak untuk berbuat demikian di mahkamah.
"Saya telah mengarahkan pegawai siasatan saya agar melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk keputusan beliau secepat mungkin," katanya lagi.
