Syed Shahir Mohamud berjaya mengekalkan jawatan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam pemilihan pucuk pimpinan kongres tersebut hari ini.

Beliau mendapat 278 undi untuk menewaskan pencabarnya Mohd Shafie BP Mammal dengan majoriti 43 undi.

Mohd Shafie, yang sebelum ini merupakan timbalan presiden MTUC, mendapat 235 undi.

Namun begitu, sebahagian besar jawatan penting MTUC kali ini dimenangi oleh calon-calon dari kumpulan Mohd Shafie yang turut bergabung dengan Setiausaha Agung MUTC, G Rajasekaran.

Rajasekaran pula berjaya mengekalkan jawatan setiausaha agung dengan majoriti tipis empat undi sahaja, untuk menewaskan pencabarnya Abdullah Sani Abdul Hamid.

Rajasekaran mendapat 259 manakala Abdullah yang sebelum ini merupakan naib presiden sektor swasta mendapat 255 undi.

Jawatan timbalan presiden pula dimenangi oleh Mohd Khalid Atan yang mendapatkan 302 undi. Beliau menewaskan seorang lagi calon, P Maniam yang mendapat 214 undi.

'Orang Shafie'

Manakala Abdul Halim Mansor berjaya mengekalkan jawatan timbalan setiausaha agung. Beliau mendapat 262 undi, untuk menewaskan pencabarnya, J Solomon dengan sembilan undi. Solomon mendapat 253 undi.

Jawatan timbalan setiausaha kehormat pula dimenangi oleh Jimmy Tan Yee Shen yang mendapat 286 undi.

Pemenang bagi lima jawatan naib presiden swasta ialah dua muka lama - A Balasubramaniam dan Wan Mohd Naim Shukri Mohd - dan tiga muka baru - Nordin Ahmad, Shukri Mohamad dan Mustafar Maarof.

Balasubramaniam memperolehi 265 undi, Wan Mohd Naim (296), Mustafar Maarof (299), Shukri Mohamad (296) dan Nordin Ahmad (260).

Tiga naib presiden bagi sektor badan berkanun ialah Indra Putera Ismail yang mendapat 284 undi, Zainal Ismail (291) dan Mohd Nor Abdullah (282).

Manakala tiga naib presiden bagi sektor awam pula terpilih tanpa bertanding. Mereka ialah Kang Bee Leng, Maimunah Ahmad dan Anwar Ibrahim.

Pemenang kali ini yang dikatakan dari kumpulan Mohd Shafie dan Rajasekaran ialah Mohd Khalid (timbalan presiden), Abdul Halim (timbalan setiausaha) dan Jimmy Tan (timbalan setiausaha kehormat).

Dari kalangan naib presiden pula ialah Shukri, Mustafar, Balasubramaniam, Wan Mohd Naim, Indra Putera, Zainal Ismail, Bee Leng, Maimunah dan Anwar.