Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Loke ambil tanggungjawab penuh DAP kecundang semua kerusi
Diterbitkan:  Nov 29, 2025 9:04 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

PRN SABAH | Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan parti itu untuk menang di kesemua lapan kerusi yang ditandingi dalam PRN Sabah ke-17.

Loke berkata DAP menghormati keputusan pengundi di lapan kerusi tersebut.

"Sebagai Setiausaha Agung parti, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap segala kelemahan dan kegagalan DAP memenangi sebarang kerusi dalam PRN kali ini.

"Pucuk pimpinan parti akan mengambil iktibar daripada keputusan ini dan menilai semula segala kelemahan kami serta berusaha untuk memenangi semula sokongan rakyat pada pilihanraya akan datang," katanya dalam kenyataan, susulan keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan malam ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, antara calon yang kecundang ialah Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, yang gagal merampas kerusi Likas daripada Warisan. Phoong tewas kepada Tham Yun Fook.

Untuk rekod kerusi Likas memang dimenangi oleh Warisan pada PRN 2020. Ketika itu kedua-dua parti bekerjasama dalam gabungan Warisan Plus.

Naib Pengerusi DAP Sabah, Jannie Lasimbang pula gagal untuk mengekalkan kemenangannya di Kepayangi. Dia menjadi wakil rakyat di kerusi itu sejak 2018.

Calon lain yang dipertaruhkan DAP dalam PRN kali ini ialah Chan Foong Hin (Tanjung Aru); Chan Loong Wei (Luyang); Vivian Wong (Elopura); Tang Szu (Tanjong Papat); Philip Yap Wui Lip (Sri Tanjong) dan Norita Sual (Kemabong).

Meskipun begitu, Loke berkata DAP masih mempunyai dua anggota Parlimen di Sabah, iaitu di kerusi Kota Kinabalu dan Sandakan.

“DAP Sabah masih mempunyai dua wakil di peringkat Parlimen dan kedua-dua anggota Parlimen DAP akan melipat ganda usaha dan gerak kerja mereka di kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS