Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP tanya tindakan susulan isu Pulau Batu Puteh
Diterbitkan:  Dec 1, 2025 8:27 AM
Dikemaskini: 12:27 AM

PARLIMEN | Perancangan dan tindakan susulan kerajaan berhubung Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), antara yang dibincangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi parlimen, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) bertanyakan menteri luar mengenai perkara itu serta langkah diplomatik, undang-undang dan rundingan dua hala dengan Singapura bagi memastikan kedaulatan serta kepentingan maritim negara terus terpelihara.

Pada sesi sama yang bermula jam 10 pagi, Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) meminta perdana menteri menyatakan kesan sosial daripada pembangunan pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan terhadap masyarakat setempat terutamanya dalam aspek persaingan sosial dan peningkatan kos sara hidup.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pula mengajukan soalan kepada menteri pendidikan tinggi mengenai jumlah serta kadar bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut pendapatan bulanan peminjam.

Sementara itu, tiga rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu RUU Antibuli 2025, RUU Imigresen (Pindaan) 2025 dan RUU Pasport (Pindaan) 2025.

Mesyuarat Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian pelaburan, perdagangan dan industri.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS