Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jumlah mangsa banjir di 7 negeri kian berkurangan
Diterbitkan:  Dec 1, 2025 9:40 AM
Dikemaskini: 1:40 AM

Jumlah mangsa banjir di lapan negeri di Semenanjung Malaysia terus mencatatkan penurunan kecuali di Pahang apabila terdapat sedikit peningkatan direkodkan setakat 8 pagi tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa meningkat daripada 585 orang daripada 202 keluarga menjadi 610 orang melibatkan 206 keluarga pada malam tadi, dengan Temerloh merekodkan bilangan teramai iaitu 223 orang daripada 77 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah lain yang terjejas ialah Lipis, Bera, Jerantut dan Kuantan.

Menurut Infopublic banjir, tiga lokasi sungai utama di Pahang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu jambatan kereta api Sungai Pahang (35.12 meter), Waterfront Sungai Pahang (28.76 meter) dan Lubuk Paku Sungai Pahang (19.12 meter).

Tujuh negeri lain terus mencatatkan penurunan termasuk TERENGGANU dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,752 orang daripada 552 keluarga berbanding 2,018 orang daripada 650 keluarga malam tadi.

Berdasarkan InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 50 PPS masih dibuka di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.

‎Di SELANGOR pula, seramai 2,707 individu daripada 752 keluarga masih berada di 30 PPS di Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Sabak Bernama. Pada malam tadi jumlah mangsa banjir ialah 2,789 orang daripada 777 keluarga.

‎Di NEGERI SEMBILAN, InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa yang ditempatkan di dua PPS di Port Dickson berkurangan kepada 79 individu membabitkan 44 keluarga berbanding 89 orang daripada 49 keluarga pada malam tadi.

Situasi banjir di PERAK pula terus menunjukkan tanda pulih apabila jumlah mangsa kian berkurangan kepada 4,766 orang daripada 1,447 keluarga yang berlindung di 30 PPS di lima daerah.

Jumlah malam tadi ialah 4,840 orang daripada 1,486 keluarga.

Sementara itu, mangsa banjir di KEDAH terus mencatatkan penurunan kepada 264 orang daripada 83 keluarga berbanding 342 orang daripada 104 keluarga malam tadi dengan kesemua mangsa masih berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pekan dan SK Tunjang.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 12 PPS membabitkan Padang Besar, Kangar dan Arau terus berkurangan daripada 3,009 orang malam tadi kepada 2,523 mangsa pagi ini.

Sementara itu, KELANTAN pula menyaksikan Pasir Mas kekal sebagai satu-satunya jajahan terjejas banjir membabitkan 894 mangsa daripada 305 keluarga yang berlindung di empat PPS.

Dari segi paras air sungai utama, sebahagian besar berada pada tahap normal atau menunjukkan penurunan kecuali Sungai Pergau di Kampung Lawar, Jeli (99.93 meter), yang direkodkan berada pada paras bahaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS