Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki maut jatuh bangunan ketika ambil bola pickleball
Diterbitkan:  Dec 3, 2025 5:54 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Seorang lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan tingkat tiga ketika mahu mengambil bola pickleball dalam kejadian di Pudu, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.43 malam semalam berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa memanjat pagar sebelah gelanggang untuk mengambil bola semasa kejadian tersebut.

"Mangsa (si mati) sebelum kejadian bermain pickleball di tingkat tiga dan telah memanjat pagar sebelah gelanggang untuk mengambil bola lalu terjatuh ke tingkat bawah.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

‘Jangan spekulasi’

Sementara itu penyedia gelanggang sukan itu Playa Racquet Club dalam satu hantaran di Instagram berkata, pihaknya turut bersimpati atas kejadian tragis yang berlaku di fasiliti mereka.

Pihaknya juga meminta semua pihak menghormati privasi keluarga dan mereka yang terkesan dengan kejadian tersebut.

"Kami juga merayu kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara pihak berkuasa yang berkenaan menjalankan siasatan.

"Doa dan ingatan kami bersama keluarga (mangsa) dalam tempoh yang amat sukar ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS