Persatuan Pickleball Malaysia (MPA) berkata pemakaian pelindung mata dalam pertandingan pickleball bukanlah sesuatu yang wajib, namun digalakkan bagi memastikan keselamatan peserta.
Presidennya, Farrell Choo Kah Thiam berkata walaupun tiada peraturan yang mewajibkannya, pihaknya menyarankan agar setiap pemain mengambil inisiatif memakai pelindung mata terutama dalam situasi permainan yang kompetitif.
“Secara umum, pemakaian pelindung mata adalah digalakkan. Kami mempunyai pemain yang memakai pelindung mata demi keselamatan mereka.
“Namun begitu, keputusan tetap terletak pada pemain itu sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.
Choo turut memuji pihak yang mengambil berat berkenaan isu itu, merujuk kepada inisiatif St John Ambulance Malaysia Kawasan Pantai Selangor yang menganjurkan pertandingan pickleball yang mewajibkan pemakaian pelindung mata bagi peserta.
“Saya mengucapkan tahniah kepada St John Ambulance Malaysia Kawasan Pantai Selangor atas inisiatif mereka dalam mempromosikan keselamatan mata kepada komuniti pickleball,” katanya.
Terdahulu, St John Ambulans Malaysia Kawasan Pantai Selangor berkata penganjuran pertandingan itu sebagai antara usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya perlindungan diri semasa bersukan
Susulan itu, Exco Sukan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata dia akan meminta Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berbincang dengan persatuan pickleball di negeri itu berhubung keperluan pemakaian pelindung mata dalam pertandingan di masa akan datang.
Dalam pada itu, Choo berkata dalam latihan kejurulatihan, aspek keselamatan memang menjadi fokus utama, termasuk pemakaian pelindung mata.
“Dalam latihan untuk jurulatih, kami menekankan supaya mereka melabur dalam beberapa peralatan seperti pelindung mata, terutama jika mereka mengajar pemain muda.
“Selain itu, kami turut memberi penekanan terhadap langkah keselamatan asas seperti tidak berundur ke belakang (backpedaling), sentiasa peka dengan keadaan sekeliling sebelum memukul bola, serta berhati-hati apabila pasangan regu sedang melakukan pukulan,” katanya lagi.
